Berita

Utusan Malaysia tidak kisah jaja ‘temberang’

hatta wahari 1KUALA LUMPUR, 3 SEPTEMBER: Jika dahulu akhbar Utusan Melayu (Utusan Malaysia) benar-benar menjadi suara golongan buruh, petani dan rakyat tertindas, kini akhbar yang menjaja slogan Pemangkin Fikiran Rakyat itu hanya mengambil sikap pro kepada pemerintah dengan penyebaran pelbagai dakyah propaganda malah fitnah dan penipuan.

“Kita boleh lihat sendiri, Utusan Malaysia kini adalah UMNO, dan UMNO itu adalah Utusan Malaysia.”

Demikian dedah bekas wartawan Utusan Malaysia selama 16 tahun, Hata Wahari dalam forum Memahami Utusan-Siapa Awang Selamat anjuran Angkatan Kewartawanan dan Ruang Awam Bebas (Akrab) dan KLSCAH di Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut beliau, Utusan Malaysia berubah arah sejak kepentingannya diambil alih oleh parti pemerintah UMNO yang ketika itu mendapat tentangan kuat Ketua Pengarang, Said Zahari sehingga berlakunya mogok pada 1961.

“Mereka (kerajaan) mahu mengawal maklumat yang disebar dalam Utusan tetapi ia ditentang hebat Pak Said Zahari kerana mahu Utusan Malaysia kekal sebagai suara rakyat, bukannya suara pemerintah,” ujar Hata.

Kata Hata yang juga bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), sebarang laporan utama yang disiarkan akhbar itu mempunyai kaitan dengan dasar dan agenda kerajaan yang akan dilaksanakan. Ia termasuk menjatuhkan mana-mana pemimpin UMNO sendiri yang tidak disukai ‘orang tertentu’.

hatta wahari 2“Kita boleh lihat bagaimana Utusan Malaysia diguna untuk menerbitkan kebencian, mengetepikan kepimpinan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

“Masa itu Utusan Malaysia memainkan isu kenaikan harga barang keperluan, kemudian kita dapat lihat bagaimana kerajaan pimpinan beliau hilang majoriti dua per tiga. Jawatan Perdana Menteri yang disandangnya pula diserahkan kepada Najib” kata Hata.

Menjawab persoalan siapakah penulis yang menggunakan nama Awang Selamat, Hata mendedahkan bahawa Awang Selamat merupakan ‘orang yang paling selamat’ kerana walau apa pun yang ditulis, Ketua Pengarang tidak akan dikenakan hukuman.

“Awang Selamat itu seolah-olah ‘kepala’ Perdana Menteri.

“Apa yang ditulis Awang Selamat itulah arahan yang diterima untuk ditulis dalam memberi persepsi, menguasai kumpulan tertentu. Kita boleh juga katakan bahawa beliau ini juga seolah-olah menjadi penjaja pemikiran Perdana Menteri.

Ditanya wartawan Roketkini.com mengenai kekuatan dan pengaruh Utusan Malaysia di kalangan masyarakat Melayu, Hata berkata, bahawa akhbar itu hanya memberi fokus kepada kumpulan tertentu masyarakat terutamanya masyarakat luar bandar.

“Utusan telah berjaya membentuk sebuah mentaliti masyarakat yang feudal dan terkongkong.

“Dia (Utusan) tidak kisah dia kalah saman banyak kali. Contohnya Guan Eng menang saman fitnah ke atas Utusan Malaysia, percayalah, orang kampung akan bela balik Utusan Malaysia, “tak habis-habis ambil duit orang Melayu, Utusan Malaysia ni Melayu punya”, sampai begitu sekali,” kata beliau panjang lebar.

hatta wahari 3Turut menjadi ahli panel forum itu ialah Profesor Zaharom Nain, Pensyarah Fakulti Kesenian dan Sains Sosial, Universiti Nottingham Kampus Malaysia.

Profesor Zaharom berkata, penguasaan kerajaan ke atas media arus perdana sepertimana yang berlaku dalam negara ini menyebabkan kurangnya ketelusan.

“Di sini kita lihat, dengan adanya media alternatif, wujudlah saingan dan kepelbagaian maklumat.

Beliau, pada masa yang sama turut mempertikaikan adakah masih wujud media arus perdana yang benar-benar digerakkan ‘untuk rakyat’.

“Dalam konteks media aliran utama, media untuk rakyat sudah jadi mitos. Realitinya, media kita adalah untuk dapatkan keuntungan,” ujar beliau.-Roketkini.com