Berita

BN bohongi HINDRAF, HINDRAF pula tipu masyarakat India

V SivakumarIPOH, 3 SEPTEMBER: DAP mempertikaikan kejujuran kerajaan Barisan Nasional (BN) dan HINDRAF terhadap pemerkasaan sosio-ekonomi masyarakat India berhubung Pelan Tindakan lima tahun yang dipersetujui kedua-dua pihak pada April lalu.

Ahli parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar berkata, perkara ini dibangkitkan memandangkan hingga sekarang tidak ada sebarang tindakan diambil malah lebih menyedihkan, masyarakat India terus ditipu pemimpin BN dan HINDRAF dengan pelbagai janji manis sebelum pilihan raya.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri berjanji dengan HINDRAF untuk memperakui pelan tindakan lima tahun yang digariskan pertubuhan itu.

“Beliau (Najib) juga pernah berjanji untuk menubuhkan satu unit khas di Jabatan Perdana Menteri untuk menangani masalah kaum India secara khusus,” katanya.

Bagaimanapun, hingga kini, kerajaan BN tidak menggariskan apa-apa rancangan strategik yang khusus untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat India.

“Tetapi kita sering dihidangkan dalam laporan media ialah masalah sosio ekonomi yang semakin meruncing,” katanya.

Tambahnya, apa yang paling dramatik, HINDRAF yang sebelum itu dianggap sebagai pertubuhan haram dan radikal secara tiba-tiba pula diiktiraf dan diberi penghormatan oleh Perdana Menteri dan pemimpin BN.

“Bermula daripada saat itu HINDRAF menjadi rakan kongsi BN dan bersungguh-sungguh membantu kemenangan BN pada PRU-13 lalu.

“Saya pasti tawaran jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada P Waythamoorty sebelum PRU-13 sebagai ganjaran sokongan kepada BN,” ujar beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak.

Persekongkolan MIC dalam BN sejak sekian lama membawa malapetaka terhadap kemajuan masyarakat India negara ini bila mana pemimpin MIC tidak tumpah seperti pimpinan UMNO yang mengamalkan budaya kronisme melampau.

Kini, kehadiran HINDRAF yang seolah-olah menggantikan MIC itu hanya sekadar batu loncatan untuk terus membohongi masyarakat India dan rakyat Malaysia khususnya.

Dengan polisi perkauman dan tanpa pelaksanaan dasar affirmatif yang adil, jujur dan bertanggungjawab, masih adakah harapan buat masyarakat India menaruh kepercayaan kepada kerajaan BN-Roketkini.com