Berita

DAP minta ROS henti ikut skrip kempen UMNO/BN

lksKUCHING, 4 SEPTEMBER: Pendaftar Pertubuhan (ROS) diminta berhenti bertindak mengikut skrip kempen “DDD” (skuad Demolish/Destroy DAP) UMNO/Barisan Nasional (BN) sebaliknya membuktikan ia sebuah badan bebas, adil dan profesional dalam menjalankan tugas termasuk memberi sebab mengapa DAP perlu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sedangkan pemilihan pada Disember tahun lalu adalah sah, sempurna dan mematuhi perlembagaan parti.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menganggap ROS adalah pihak yang bersalah terhadap DAP sejak lapan bulan lalu sebab itu meminta Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berhenti bertindak mengikut skrip kempen “DDD” UMNO/BN.

“ROS sepatutnya membuktikan ia adalah sebuah badan yang bebas, adil, dan profesional dalam menjalankan tugasnya, bukannya meminta DAP menghentikan “perang” media dan mematuhi prosedur.

“Dalam kempen DDD, UMNO/BN pada tujuh bulan tahun ini mempertikai kesahihan pemilihan CEC DAP kerana mendakwa berlaku penipuan dalam pemilihan, 753 perwakilan “kebanyakan berketurunan India” yang layak mengundi dikatakan tidak diberi notis untuk hadir dan mengundi serta 547 “perwakilan hantu, kebanyakan dari Pulau Pinang,” dibenar mengundi pada Kongres DAP Disember lalu, menjadikan pemilihan itu tidak sah,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, ketiga-tiga alasan itu terbukti tidak berasas, malah dakwaan penipuan pada pemilihan CEC kerana “gangguan komputer” tidak lagi kedengaran, sebaliknya serangan terhadap DAP ditumpukan kepada “753 perwakilan” tidak diberikan notis dan “547 perwakilan hantu.”

Katanya, pada Julai lalu, sebuah risalah misteri berjudul The Equity Report (CEC Election Fraud) diterbitkan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, dan Tamil, dan isinya dipetik secara bebas oleh media kawalan UMNO/BN, selain disebarkan ke seluruh negara, termasuk di Sarawak, walaupun risalah itu ditulis oleh watak rekaan bernama “Father Augustus Chen” dan diterbitkan secara haram tanpa menyebut nama pencetak atau penerbitnya seperti yang diwajibkan oleh undang-undang Malaysia.

Menurutnya, beliau juga sudah mencabar “Father Augustus Chen” untuk muncul di depan umum, tetapi gagal kerana watak itu adalah rekaan semata-mata, seperti juga 100 kenyataan palsu mengenai DAP yang dimuatkan dalam risalah setebal 12 halaman itu.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana sebuah penerbitan haram yang berasaskan khayalan diberi layanan begitu istimewa, dipetik dalam media rasmi UMNO/BN, tidak kira media cetak, radio, atau TV, hampir setaraf dengan liputan yang diberi terhadap kenyataan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri atau Kabinet.

“Risalah penuh fitnah “Father Augustus Chen” menjadi tirai penutup bagi kempen DDD UMNO/BN untuk menghalalkan tindakan kerajaan UMNO/BN dan ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC, khusus mengenai dakwaan tidak berasas “753 perwakilan kebanyakannya berketurunan India” yang kononnya tidak diberi notis dan “547 perwakilan hantu,” katanya.

Beliau berkata, pada awal kempen DDD UMNO/BN, Ketua Pengarah ROS menunjukkan sikap bebas, adil, dan profesional, seperti kenyataan Abdul Rahman pada Januari yang menyebut pemilihan semula CEC DAP “hanya akan berlaku jika ada bukti kukuh berlaku percanggahan dalam proses pemilihan CEC.

Bagaimanapun, katanya, pada bulan berikutnya, ROS bertindak mengikut skrip kempen DDD UMNO/BN, diakhiri arahan supaya DAP mengadakan pemilihan semula CEC, walaupun Ketua Pengarah ROS sendiri gagal mengotakan kata-katanya sendiri yang diungkapkan di depan umum pada Januari lalu iaitu tidak perlu ada “bukti kukuh” mengenai percanggahan proses pemilihan CEC sebelum arahan mengadakan pemilihan semula CEC dikeluarkan.

“Kempen memusnahkan DAP oleh UMNO/BN mempunyai agenda baru setelah BN mencatat prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13, iaitu untuk melenyapkan DAP dan juga Pakatan Rakyat daripada arena politik dengan apa cara sekalipun, tidak kira bersih atau kotor.

“Agenda UMNO/BN ini tidak mengejutkan sama sekali, tetapi ROS tidak seharusnya terbabit dalam agenda jahat UMNO/BN ini kerana ia wajib bertindak selaku sebuah badan yang bebas, adil, dan profesional dalam menjalankan tugas memantau pertubuhan dan parti politik yang berdaftar,” tambahnya.

Menurut Kit Siang, belum terlambat bagi Ketua Pengarah ROS menjalankan tugasnya menurut lunas undang-undang dan secara profesional iaitu memberi sebab mengapa beliau tidak berpuas hati dengan pemilihan CEC DAP Disember tahun lalu dan mahu DAP mengadakan pemilihan semula CEC.

Katanya, beliau sedia bertemu Abdul Rahman untuk mengemukakan asas bagi dakwaan saya bahawa ROS bertindak mengikut skrip kempen DDD UMNO/BN kerana pada awalnya menunjukkan sikap bebas, adil dan profesional.-Roketkini.com