Berita

DAP tidak pernah lancar ‘perang’ terhadap ROS

AnthonyLoke_dapKUALA LUMPUR, 4 SEPTEMBER: DAP tidak pernah melancarkan ‘perang’ terhadap Pendaftar Pertubuhan (ROS) melalui media, sebaliknya ROS yang menghukum apabila mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 29 Julai lalu.

Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook menganggap tuduhan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Abdul Rahman amat mengelirukan dan tidak masuk akal sama sekali.

Katanya, permintaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk bertemu Abdul Rahman bagi membincangkan perkara itu ditolak serta-merta dan langsung tidak diberi ruang untuk bersemuka.

“Dalam surat bertarikh 30 Julai 2013, ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC tanpa memberi alasan, malah tidak meletakkan apa-apa syarat, prosedur atau jangka masa pada pemilihan semula itu dan tidak meminta surat jawapan daripada pihak kami.

“Kenyataan Abdul Rahman mendakwa DAP tidak mematuhi prosedur pemilihan semula adalah mengelirukan kerana dalam mana-mana proses pemilihan parti, laporan lengkap bersama dengan senarai jawatankuasa baru yang terpilih hanya akan dihantar kepada ROS selepas pemilihan.

“Prosedur dalam proses pemilihan adalah tertakluk kepada Perlembagaan Parti masing-masing dan tidak ada syarat untuk memaklumkan pada ROS dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini

Ahli Parlimen DAP Seremban turut menegaskan, memandangkan perilaku kejam dan tidak bertanggungjawab ROS yang sering mencari alasan untuk menghukum DAP, surat makluman akan dihantar terus kepada ROS.

“Ibu Pejabat DAP sedang dalam proses menghantar notis Kongres Khas kepada semua perwakilan parti minggu ini. Kami juga melantik sebuah firma audit antarabangsa untuk semua proses pemilihan.

“Kami tetap komited untuk menjalankan proses pemilihan semula itu secara teratur dan telus.

“Memandangkan ROS sering mencari alasan untuk mengenakan tindakan kepada kami, surat makluman akan dihantar secara tangan ke Ibu Pejabat ROS dalam minggu ini juga,” tegasnya. -Roketkini.com