Berita

Kerajaan gagal bendung penyeludupan diesel, haram kenderaan asing beli petrol RON95

teonieching_hiteaKULAI, 4 SEPTEMBER: Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dianggap lemah kerana gagal membanteras aktiviti penyeludupan diesel dan menghalang kenderaan asing membeli petrol RON95 sehingga menyusahkan rakyat.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, berdasarkan arahan bertulis yang dikeluarkan kerajaan pada 16 Julai 2010 yang mengarahkan semua stesen minyak di Malaysia tidak menjual petrol RON95 kepada mana-mana kenderaan asing yang berdaftar.

Katanya, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengumumkan akan menarik balik permit jika pemilik stesen minyak menjual petrol RON95 kepada kenderaan asing berkuatkuasa bermula 1 Ogos 2010.

“Bagaimanapun, mengikut jawapan bertulis yang saya terima pada sidang Parlimen, dua tahun selepas pelaksanaan dasar yang dinyatakan itu hanya enam stesen minyak yang diambil tindakan sehingga pertengahan 2012.

“Daripada jumlah itu, empat daripada stesen minyak adalah di Johor, dan dua masing-masing di Kelantan dan Kedah.

“Ini jelas membuktikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan gagal menguatkuasakan larangan itu. Kita dapat lihat di seluruh negara terutama di Johor, kenderaan asing masih bebas membeli petrol RON95 tanpa sebarang masalah dan tidak ada tindakan diambil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen DAP Kulai turut menyelar ketidakcekapan kerajaan yang menaikkan harga petrol RON95 secara melulu tanpa menambahbaik sistem pengangkutan awam.

“Selepas sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter berkuatkuasa 3 September lalu.

“Langkah menaikkan harga petrol RON95 dan diesel tanpa menambah baik sistem pengangkutan awam menjadikan rakyat ‘kambing hitam’ hasil daripada ketidakcekapan mereka.

“Saya mengecam kegagalan kerajaan memperbaiki sistem pengangkutan awam, mengurangkan subsidi kepada kroni terutamanya stesen janakuasa bebas serta gagal menghentikan aktiviti penyeludupan diesel dan mengharamkan kenderaan asing membeli petrol RON95,” ujarnya. -Roketkini.com