Berita

DAP desak kerajaan henti bodohkan rakyat melalui penyelewengan sejarah

Steven Sim 1BUKIT MERTAJAM, 5 SEPTEMBER: Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mendesak kerajaan menggugurkan segera tuduhan yang tidak wajar terhadap Sasterawan Negara, A Samad Said (Pak Samad), aktivis reformasi, Hishamuddin Rais dan aktivis pelajar, Adam Adli.

“Saya kecewa terhadap tindakan polis yang menahan Pak Samad pada lewat malam 3 September lalu, berikutan penahanan Hishamuddin dan Adam sehari sebelum itu dengan alasan kerana mereka mengibarkan bendera ‘Sang Saka Malaya’ pada malam sebelum Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

“Ini bukan kali pertama pihak polis berbuat demikian. Tahun lalu, seorang blogger juga disiasat kerana mengibarkan ‘Sang Saka Malaya’.

“Bendera Sang Saka Malaya merupakan bendera Tanah Melayu merdeka yang dikibarkan pejuang kemerdekaan AMCJA-PUTERA yang terdiri daripada tokoh yang lebih awal menuntut kemerdekaan tanah air sepenuhnya sebelum UMNO dan Parti Perikatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan turut meminta kerajaan berhenti daripada terus menyebarkan propaganda politik melalui revisinisme sejarah termasuk dalam sukatan pelajaran Sejarah di peringkat sekolah.

“Pengecaman terhadap seorang tokoh Melayu tersohor seperti Pak Samad dan aktivis lain semata-mata kerana mereka memperingati sejarah asli negara merupakan satu lagi usaha revisinisme sejarah yang didukung oleh rejim pemerintah BN. Kerajaan harus berhenti melakukan penyebaran propaganda politik sebegini termasuk di sekolah.

“Revisinisme sejarah merupakan penyelewengan fakta sejarah bagi memberi gambaran yang tidak tepat mengenai apa yang berlaku. Usaha berbentuk propaganda ini sering dilakukan rejim yang cuba menutup fakta sejarah bagi mencapai kepentingan politik sempit.

“Satu lagi contoh revisinisme sejarah ialah filem Tanda Putera yang mendapat pembiayaan kewangan daripada BN yang cuba memberi gambaran sejarah daripada teropong politik sempit mereka (UMNO/BN),” ujarnya. -Roketkini.com