Berita

DAP gesa kerajaan henti campur tangan dalam urusan polis

HOWARD LEE SIMEE IPOHIPOH, 5 SEPTEMBER: DAP mengecam tindakan kerajaan yang terus memperhambakan polis untuk kepentingan politik sehingga merosakkan kredibiliti serta mencalarkan imej badan penguatkuasaan itu di mata umum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berkata, penguasaan kerajaan terhadap polis untuk kepentingan politik tertentu juga menghakis keyakinan rakyat kepada mereka yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab membasmi jenayah.

“Apabila masyarakat tidak yakin atau percaya terhadap institusi awam, pasti ia memungkinkan kepada berlakunya kemusnahan dalam negara.

“Pegangan kepentingan politik juga membuatkan mereka terus terjerumus dalam situasi ‘penafian’. Tidak boleh dinafikan lagi bahawa sekarang Malaysia sedang mengalami krisis keyakinan yang teruk dan sedang menuju kepada kehilangan kepercayaan yang boleh memudaratkan institusi awam, terutamanya polis,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang juga Setiausaha DAPSY Perak, menyeru kerajaan memperbaiki institusi itu dengan tidak lagi campur tangan dan mengembalikan semula tanggungjawab asal polis.

“Saya memohon kerajaan agar kembali kepada realiti dan tidak lagi berada dalam keadaan separuh sedar dengan menafikan pelbagai pendedahan yang dilakukan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

“Kemelut ini harus diselesaikan, maruah polis dan negara perlu dikembalikan segera,” ujarnya.

Sehubungan itu, Howard turut menggesa rakyat agar turut sama membersihkan institusi polis supaya mereka dapat berkhidmat atas kapasiti sewajarnya seperti yang dipertanggungjawabkan.

“Kita mesti dengan segala kekuatan melawan musuh sebenar iaitu mereka yang mengamalkan rasuah, kronisme, nepotisme dan kini berada di kerusi kuasa dalam pasukan polis.

“Kita mesti berjuang untuk memastikan polis yang sememangnya masih mempunyai hati nurani suci dan bersih boleh berkhidmat serta melindungi kita tanpa rasa takut. Polis perlu bebas daripada belengu kerakusan politik rejim  BN.

“Sekarang adalah masa sesuai kita menyelesaikan krisis keyakinan dengan berganding bahu dengan pegawai polis supaya dapat bersama-sama menangani pelbagai kejadian contohnya seperti kadar tembakan di tempat awam yang semakin tinggi dan menjadi-jadi kebelakangan ini,” tegasnya. -Roketkini.com