Berita

DAP hantar 3,561 surat kepada perwakilan, Setiausaha Cawangan hari ini

anthony lokeKUALA LUMPUR, 5 SEPTEMBER: DAP menetapkan Kongres Khas 2013 akan diadakan di Hotel One World, First Avenue, Petaling Jaya, Selangor, pada 29 September ini, mulai jam 10 pagi.

Kongres Khas itu diadakan untuk memilih semula 20 ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebagai mematuhi arahan yang keluarkan Pendaftar Pertubuhan (ROS), pada 30 Julai lalu.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh akan menyampaikan ucapan aluan perasmian kongres itu dan diikuti ucapan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum pemilihan CEC dimulakan.

Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, surat kepada semua perwakilan dan Setiausaha DAP Cawangan mengenai kongres itu akan dihantar mulai hari ini.

“Surat pemilihan semula itu akan dihantar hari ini kepada 2,576 perwakilan dan 985 Setiausaha Cawangan DAP di seluruh negara.

“Jumlah semua surat yang akan dihantar adalah sebanyak 3,561 dan semua surat itu sebelum dihantar untuk diposkan akan diaudit terlebih dulu oleh firma audit antarabangsa yang dilantik berserta dengan perakuan penghantaran.

“Setiap surat akan mempunyai perakuan supaya tidak ada sebab atau alasan bagi mana-mana perwakilan untuk mendakwa Ibu Pejabat DAP tidak menghantar surat jemputan ke kongres berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, di sini, hari ini.

Anthony Loke yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kongres Khas itu berkata, seramai 2,576 perwakilan membabitkan 37 wakil dari Kedah, Pulau Pinang (459), Perak (588), Selangor (578), Kuala Lumpur (99), Negeri Sembilan (202), Melaka (78), Johor (251), Pahang (103), Kelantan (4), Sarawak (100), Sabah (57), Terengganu (1) dan Perlis (19).

Manakala Setiausaha Cawangan pula seramai 985 orang iaitu 26 daripada Kedah, Pulau Pinang (176), Perak (216), Selangor (218), Kuala Lumpur (31), Negeri Sembilan (59), Melaka (35), Johor (93), Pahang (45), Kelantan (5), Sarawak (33), Sabah (41), Terengganu (1) dan Perlis (6).

Menurut Anthony, senarai calon yang bertanding CEC juga adalah calon sama seperti mana yang bertanding pada Kongres DAP di Pulau Pinang, Disember tahun lalu.

anthony loke 3“Dalam surat notis itu, kami juga sertakan senarai nama calon yang akan bertanding pada pemilihan semula CEC nanti.

“Terdapat 68 calon semuanya setelah lima calon menarik diri dan seorang lagi keluar parti sebelum kongres. Mereka yang menarik diri daripada bertanding adalah Er Teck Hwa, V Jaya Balan, Choong Siew Onn, Teo Kok Seong dan Yong Wui Wui. Manakala John Fernandez sudah keluar parti.

“Tidak akan ada soal undi rosak jika perwakilan mengundi nama calon yang dinyatakan itu, undi mereka tetap akan dikira namun status mereka adalah tarik diri dan keluar parti,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi kecaman terhadap ROS yang mendakwa DAP menggunakan media untuk melancarkan ‘perang’.

“Saya ingin ulangi sekali lagi, kami tidak pernah melancarkan perang terhadap ROS melalui media tapi sebaliknya ROS yang menggunakan media untuk menyerang dan menghukum DAP.

“ROS dalam surat bertarikh 30 Julai 2013 juga mengarahkan kami mengadakan pemilihan semula CEC tanpa memberi alasan, malah tidak meletakan apa-apa syarat, prosedur atau jangka masa pemilihan semula itu dan tidak meminta surat jawapan daripada pihak kami,” tegasnya. -Roketkini.com