Berita

Hishammuddin digesa buka semula siasatan tragedi kemalangan Genting Highlands

LCT-ceramah kluang-perjuangandi teruskan (20)KUALA LUMPUR, 5 SEPTEMBER: Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong menggesa Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan kerajaan membuka semula siasatan tragedi kemalangan Genting Highlands yang meragut 37 nyawa baru-baru ini.

Beliau berkata, Hishammuddin tidak seharusnya membenarkan kes kemalangan seperti itu hanya dianggap sebagai ‘malapetaka Tuhan, bukan daripada manusia’

“Sehubungan itu, saya menggesa Hishammuddin dan kerajaan membuka semula siasatan terhadap tragedi kemalangan di Genting Highlands yang meragut 37 nyawa dan menjadi kemalangan jalan raya paling buruk di negara ini.

“Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditugaskan menyiasat kejadian yang berlaku pada 22 Ogos lalu itu dan pakar asing bebas harus dipanggil untuk membantu,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu dilaporkan, berdasarkan laporan awal yang disedia Jabatan Keselamatan Jalan Raya kepada Kabinet semalam, Hishammuddin menyatakan ‘selepas melihat daripada pelbagai aspek, termasuk kecerunan cerun, pemandu, reka bentuk jalan, brek, tayar dan lain-lain, ia jelas tidak ada satu perkara tunggal yang boleh dibuktikan sebagai punca sebenar kejadian.’

Hishammuddin juga dilaporkan ‘agak gembira’ dengan siasatan berdasarkan laporan awal itu.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan turut menempelak kenyataan Hishammuddin yang menyatakan ‘agak gembira’ dengan siasatan awal yang dijalankan.

“Ia amat mengerikan apabila Hishammuddin boleh memberitahu beliau ‘agak gembira dengan siasatan’, rakyat Malaysia inginkan Menteri yang tegas dan boleh menyatakan bahawa beliau tidak yakin dengan laporan serta meminta siasatan kes itu dibuka semula dengan lebih ramai pakar dipanggil.

“Sudah tentu tidak ada sesiapa yang ingin mencari penyebab tunggal yang menyebabkan berlakunya tragedi itu. Kes seperti itu sering disebabkan oleh pertemuan faktor yang memuncak pada masa yang sama.

“Apa yang diharapkan daripada Menteri dan Kerajaan adalah kesediaan untuk mengenal pasti permasalahan daripada bawah dengan mengemukakan nama sesiapa saja yang bertanggungjawab dalam apa jua cara yang menyebabkan tragedi itu berlaku. Siasatan dalam tragedi Genting tidak boleh dikaburkan, ia tidak boleh lagi dianggap ‘malapetaka daripada Tuhan, bukan daripada manusia’,” ujarnya.

Pada Julai 1988, apabila jambatan Pangkalan Feri Sultan Abdul Halim runtuh di Pulau Pinang, satu Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dipengerusikan oleh Tan Sri Chang Min Tat telah ditugaskan. Kejadian itu menyebabkan 32 kematian. -Roketkini