Rencana

Tun Razak di tangan Shuhaimi Baba Oleh Hariszuan

Poster_Filem-Tanda_PuteraSAYA menonton Tanda Putera ketika tayangannya mula lesu meskipun tidak sampai seminggu berada di pawagam. Barangkali juga ulasan ini juga tidak lagi memancing minat ramai.

Awalnya saya khuatir tidak dapat menonton filem itu di pawagam kerana tindakaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang ingin ‘menasihati’ agar pawagam di negeri itu tidak menayangkan filem arahan Shuhaimi Baba itu. Namun, saya lega apabila nasihat itu diperjelaskan semula oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng bukan sebagai larangan. Semoga tidak akan ada mana-mana filem, buku, atau musik yang diharamkan di negeri itu.

Lega saya itu juga kerana saya ingin menyambut cabaran Suhaimi Baba agar mereka yang mengkritik filem beliau itu, harus menonton filem itu dulu. Ya, saya kira ini adalah permintaan yang adil dan kepada Shuhaimi Baba, ini ulasan saya sebagai orang di luar dunia filem.

Pada awalnya, saya menyangka filem ini berkenaan dengan peristiwa 13 Mei 1969 dan bagaimana Allahyarham Tun Razak, Perdana Menteri Kedua bekerjasama dengan Tun Dr Ismail Abdul Rahman dalam Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk memulihkan semula keamanan di Malaysia.

Malah, tumpuan minat saya bukan bagaimana Shuhaimi Baba menggambarkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam filem itu, kerana sudah sedia maklum akan sikap beliau terhadap parti bukan berasaskan kaum ini. Sebaliknya saya, lebih berminat untuk melihat bagaimana pengarah filem Hati Malaya (2007), Mimpi Moon (2000) dan Ringgit Kasorrga (1995) ini mempotretkan peranan dan kedudukan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Pertama yang juga Bapa Kemerdekaan dalam filem itu.

Bagi mereka yang menghargai sejarah, menekuninya dengan jujur dan ikhlas mencermati sejarah daripada pelbagai sumber, pasti akan mendapati filem ini sangat mengecewakan. Pertamanya, kerana filem yang kononnya berdasarkan sejarah ini amat tohor serta dangkal kajiannya. Sangat malang bagi sebuah filem yang dibiayai oleh dana awam.

Entah suatu yang disengajakan atau tidak, Tunku digambarkan hampir tiada peranan dalam mendepani Tragedi 13 Mei dan segala-galanya diletakkan dipundak Tun Razak serta Dr Ismail, meskipun pada saat itu Tunku masih lagi Perdana Menteri. Malah, Tanda Putera seakan ingin memberi bayangan saat Dr Ismail menyertai semula Kabinet Tunku, beliau melaporkan diri kepada Tun Razak, bukan Tunku.

Mungkin juga filem yang dibiayai oleh FINAS itu tidak mahu menerima kenyataan bahawa 13 Mei merupakan peristiwa yang membawa kepada pengunduran Tunku. Tunku yang sejak awal tidak senang dengan Mahathir, anak muda ketika itu yang lantang mengkritik kepimpinan negara (nilai yang kini beliau tolak dan sifatkan sebagai kurang ajar serta tidak bersyukur), kemudiannya menjadi pembangkang sehingga akhir hayatnya dan mati di luar UMNO – sebagaimana takdir pengasas UMNO sendiri, Datuk Onn. Polemik ini nampaknya tidak dizahirkan dalam filem itu walaupun bayangannya sekali pun, apatah lagi konflik serta desar-desus mengenai kepimpinan dalam UMNO ketika itu.

Tambah aneh, hampir semua perbualan Tunku, Tun Razak dan Dr Ismail dalam bahasa Melayu, sesuatu yang tidak bertepatan dengan fakta sejarahnya. Malah, sehingga kini, sebagaimana umum maklum, bapak menteri kita masih lagi berbual dalam bahasa Inggeris dan banyak mesyuarat diadakan dalam bahasa Inggeris.

Saya dapat merasakan betapa tergesa-gesanya filem itu disiapkan dengan 20 minit pertama penuh dengan babak yang sarat dengan imaginasi liar tanpa penjelasan yang mungkin sengaja dibiarkan kabur serta berkecamuk. Babak itu yang terang-terangan datang daripada imej popular media arus perdana konservatif kanan dan tiada silang semak (cross-check) yang sumber berbeza. Sebagai contoh, imej Datuk Harus Idris, Menteri Besar Selangor ketika itu yang kemudiannya dipenjarakan kerana rasuah dan pecah amanah, lakonan Bell Ngasri yang digambarkan sebagai pemimpin yang cuba mengelak sebarang provokasi dan ini tidak mencerminkan fakta sejarah.

Malah, lebih mengecewakan, peranan dan sumbangan Tun Razak tidak dapat dipersembahkan dengan baik oleh Tanda Putera. Tanda Putera gagal membina naratif perjuangan apatah lagi mempersembahkan pemikiran Tun Razak dalam bentuk filem. Tun Razak di tangan Shuhaimi Baba seolah-olah seorang Perdana Menteri yang bergantung kepada Timbalannya semata-mata dan hanya resah dengan penyakitnya.

adegan tanda putra (3)Paling mengganggu adalah kenyataan bahawa sumbangan terbesar Tun Razak sehingga diberi gelaran kehormatan Bapa Pembangunan tidak dicerminkan melalui Tanda Putera. Tanda Putera adalah filem yang cemas dan sentiasa terburu plotnya, sekejap ke sana sekejap ke mari tanpa naratif yang jelas dan kukuh. Felda, UDA, Dasar Ekonomi Baru dan yang penting falsafah pembangunan Tun Razak kelihatanya terlalu berat dan tidak tergapai oleh Shuhaimi Baba.

Jangan-jangan cemas dan terburu-buru itu lahir daripada keinginan untuk memenuhi kehendak dan selera mereka yang mahu menuai laba daripada filem yang pada awalnya mahu mengangkat Tun Razak ini.

Mudah untuk memahami tindakan pengarah filem yang cenderung untuk bekerja dengan pelakon yang sama bagi beberapa filem – keserasian, kefahaman bersama dan hubungan personal. Mungkin atas alasan itu Shuhaimi Baba menyerahkan watak Tun Razak kepada Rusdi Ramli. Namun, saya berasa di sebalik kerja keras dan kesungguhan pelakon hebat Rusdi Ramli ini untuk menjiwai watak Tun Razak, masih terdapat rasa janggal terhadap lakonan beliau berbanding dengan Hasnul Rahmat yang pada saya paling menyerlah membawakan watak Tun Hussein Onn dengan sungguh meyakinkan serta mengesankan meskipun hanya watak sampingan.

Akhir sekali, Tanda Putera menginsafkan saya dan makin mengukuhkan kepercayaan saya, bahawa filem yang baik adalah filem yang ikhlas untuk bercerita – ya, ikhlas itu yang paling sukar saya temui dalam naskah Shuhaimi Baba ini.-Roketkini.com