Berita

Bukti tindakan ROS terhadap DAP ikut telunjuk UMNO/BN: Kit Siang

lks (13)KUALA LUMPUR, 6 SEPTEMBER: Kenyataan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Abdul Rahman Othman yang disiarkan The Star pada 26 Julai lalu yang mengingatkan ahli DAP agar tidak menaruh “harapan palsu” untuk membentuk parti baru jika pendaftaran DAP dibatalkan membuktikan selama ini beliau bertindak mengikut skrip skuad DDD UMNO/BN untuk memusnahkan DAP.

Ketua Pembangkang DAP, Lim Kit Siang, berkata kenyataan Abdul Rahman itu membuatkan pemimpin dan ahli DAP tercengang kerana soal penubuhan parti baru tidak pernah dibangkitkan atau diperkatakan sesiapa dalam DAP kerana tidak ada sebab yang mewajarkan pembatalan pendaftaran DAP.

Beliau berkata, tiga dakwaan telah dikemukakan menerusi kempen skuad “DDD” (Demolish/Destroy DAP) UMNO/BN dalam tujuh bulan tahun ini untuk mempertikaikan kesahihan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Kongres DAP di Pulau Pinang Disember tahun lalu, namun tiada satu pun dakwaan itu dapat dibuktikan, termasuk menerusi penerbitan risalah misteri yang memfitnah DAP dan memuatkan 100 pembohongan berkenaan parti itu.

“Walaupun risalah penuh pembohongan itu telah ditulis oleh penulis hantu bernama “Father Augustus Chen”, ia diedarkan ke seluruh negara dalam empat bahasa, iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, dan Tamil, dan diberi publisiti meluas oleh media cetak, radio, dan televisyen kawalan UMNO/BN walaupun diterbitkan secara haram tanpa nama pencetak atau penerbit.

“Dakwaan pertama dibuat mengenai penipuan dalam pemilihan yang diakibatkan oleh “gangguan komputer” tidak lagi didengar dua bulan setelah perkara itu disebut-sebut kerana tidak dapat disangkal lagi bahawa gangguan komputer itu tidak menimbulkan kesilapan pada pengiraan undi, sebaliknya hanya sewaktu pengumuman keputusan hakikat yang boleh dibuktikan kepada sesiapa jua pada bila-bila masa.

“Dua dakwaan lagi, iaitu berkenaan “753 perwakilan, sebahagian besarnya berketurunan India” yang konon tidak diberi notis mengenai Kongres dan kerana itu tidak dapat mengambil bahagian dalam pemilihan CEC dan “547 perwakilan hantu yang sebahagian besarnya dari Pulau Pinang,” adalah dakwaan tidak berasas dan pembohongan yang nyata.

“Kerana itulah Ketua Pengarah ROS tidak sanggup menyatakan secara bertulis alasan mengapa beliau tidak berpuas hati dengan pemilihan CEC DAP dan mahu pemilihan semula diadakan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, selama tujuh bulan, kempen DDD UMNO/BN menyebarkan cukup banyak pembohongan dan kepalsuan mengenai DAP menerusi ratusan laporan media kawalan UMNO/BN, misalnya menyebut bahawa “satu-satunya cara untuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dapat mengenepikan anggota parti yang tidak menyokongnya, khususnya ahli daripada kaum India, ialah menerusi pembatalan pendaftaran parti.”

Katanya, berdasarkan senario itu, ada cakap-cakap dalam parti yang menyebut bahawa Guan Eng lebih suka jika parti itu dibatalkan pendaftarannya daripada mengadakan pemilihan semula.

“Malah dakwaan dan pembohongan yang lebih besar lagi menyebut bahawa kepimpinan DAP cuba untuk merasuah ROS untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

“Semua pembohongan itu berguna untuk kempen jahat DDD UMNO/BN, tetapi ia pada masa sama mendedahkan kenyataan bahawa Ketua Pengarah ROS bertindak berdasarkan skrip kempen DDD UMNO/BN dan tidak bertindak secara bebas, adil dan profesional,” ujarnya.

Beliau berkata, cerita bohong seperti itu bersesuaian dengan kempen DDD UMNO/BN yang mendakwa kepimpinan DAP mahu pendaftaran parti itu dibatalkan supaya sebuah parti DAP baru dapat ditubuhkan seperti UMNO Baru yang penubuhannya dijadikan peluang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengenepikan ahli UMNO yang tidak bersetuju dengan beliau setelah UMNO lama diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah (bukan oleh ROS) pada 1988.

“Sebagai penegasan terhadap kenyataannya bahawa ahli DAP tidak harus “menaruh harapan palsu” untuk menubuhkan sebuah DAP baru, Abdul Rahman juga berkata: “Mereka boleh memohon. Tetapi hak untuk meluluskan berada di tangan ROS. Kami tidak melayan 29 permohonan untuk menubuhkan parti baru yang dikemukakan sejak lima tahun lalu.”

“Abdul Rahman secara rasmi telah menyerahkan sijil pendaftaran pertubuhan kepada 20 parti politik baru pada Isnin, 2 September lalu (11 parti dari Sabah, lima dari Sarawak dan empat dari Semenanjung), namun jelas bahawa keputusan meluluskan pendaftaran 20 parti politik itu telah diambil jauh lebih awal, iaitu sebelum beliau mengeluarkan peringatan kepada ahli DAP untuk tidak “menaruh harapan palsu.”

“Persoalan sekarang, apakah KP ROS terus menari mengikut rentak gendang skuad DDD UMNO/BN dan menjadi perkakas usaha mereka untuk memusnahkan DAP,” soalnya.-Roketkini.com