Berita

Tatu: Kerajaan perlu ikut undang-undang, tahan berdasarkan bukti

lim lip engKUALA LUMPUR, 6 SEPTEMBER: Polis diminta tidak sebarangan menangkap mereka yang mempunyai tatu tertentu sehingga mereka benar-benar dibuktikan melakukan kesalahan.

Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng berkata, penahanan tanpa dibuktikan bersalah adalah melanggar semangat perlembagaan dan kebebasan berekspresi.

“Penahanan kerana semata-mata memiliki tatu bercorak mahu pun bernombor tertentu amat tidak wajar dan mereka mempunyai hak mencabar penahanan itu,” ujar Lip Eng.

Lagi pun, katanya, pemakaian tatu bernombor misalnya bukan sesuatu yang boleh dikategori sebagai menghasut dan mungkin juga sebahagian daripada nombor yang dipercayai pemakainya membawa tuah.

Dalam perkara yang sama, Lip Eng berkata, tindakan Kementerian Dalam Negeri mengharamkan sesetengah simbol dimiliki kumpulan gangster tertentu juga tidak wajar.

“Ramai mereka memiliki tatu bertahun-tahun lamanya dan bila polis mengambil tindakan kepada mana-mana pemakai tatu yang disenaraihitamkan, ini jelas melanggar prinsip asas undang-undang,” jelas beliau.

Sebagai rujukan kes, Lip Eng yang juga seorang peguam memberi contoh bila mana Akta Perkahwinan dan Perceraian 1976 dipinda pada Mac 1982.

“Sebelum 1982, perkahwinan yang dilangsungkan secara tradisional diiktiraf sebagai sah dan ramai ketika itu lelaki Cina memiliki lebih daripada seorang isteri.

“Selepas 1 Mac 1982, semua perkahwinan sivil perlu didaftar yang mana menyebabkan seseorang itu hanya boleh mempunyai seorang isteri. Jika tidak, mereka terpaksa menceraikan isteri yang lain,” jelas beliau.

Justeru itu, bagi menangani isu gangsterisme ini, Lip Eng berharap dan mahu agar setiap penahanan bukan berasaskan tatu sahaja tetapi perlu mempunyai bukti dan siasatan.

“Jika berlaku sebarang kesilapan dalam penahanan sebarangan sebegini, imej dan reputasi polis akan tercalar dan sukar untuk dibaiki,” katanya.-Roketkini.com