Berita

Institusi pendidikan untuk pelajar miskin, UMNO usah histeria – Datuk Mohd Ariff Sabri

sakmonkol-teck-IMG_8518 (2)RAUB, 9 SEPTEMBER: Pemimpin UMNO disaran tidak cepat melatah dan membuka mata terhadap realiti yang dihadapi rakyat Malaysia mengenai peluang mendapatkan pendidikan murah.

Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri, berkata respon itu merujuk kepada kecaman melulu beberapa pemimpin UMNO terhadap Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud yang sedih terhadap teman bukan Melayu beliau yang miskin dan gagal melanjutkan pelajaran.

“Sudahkah mereka ini membaca dan faham apa yang Dyana Sofya maksudkan? Dia hanya menceritakan kesedihannya melihat teman bukan Melayu yang miskin dan tidak dapat melanjutkan pengajian.

“Adakah pemimpin UMNO tidak ada perasaan sedih melihat orang miskin? Mungkin kerana tidak ada perasaan sedih inilah, maka hari ini kita lihat ada 10 juta orang Melayu berpendapatan bulanan RM1,500 ke bawah!,” ujar beliau ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ariff menambah orang Melayu mesti terima kenyataan bahawa bukan semua orang Cina dan bukan Melayu itu kaya dan berkemampuan.

“Jika dilihat dalam kawasan saya, bila masuk ke kampung baru Cina seperti Kampung Baru Sempalit, Sungai Ruan, Sungai Lui, Cheroh, Sang Lee, Teras dan Sungai Chetang, kita akan dapat lihat bahawa ramai orang Cina yang miskin. Anak mereka tidak menyambung pelajaran pun. Kepada mereka yang seperti ini, kepada siapa lagi mereka boleh memohon bantuan dan berharap? Di sinilah peranan kerajaan amat penting,” tegas beliau.

Sebelum ini, Dyana Sofya yang juga graduan jurusan undang-undang UiTM memberi pandangan beliau adalah baik jika sebuah institusi seperti UiTM turut diwujudkan untuk bukan Melayu yang tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran.

Kenyataan Dyana itu disalah tafsir dan mendapat kecaman melulu beberapa pemimpin UMNO termasuk Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar sehingga menuduh Dyana Sofya sebagai seorang Melayu yang tidak kenal sejarah dan menjadi alat DAP.

Dyana ketika dihubungi Roketkini.com berkata, pandangan beliau itu adalah satu pandangan yang berpijak kepada realiti dan harus dilihat daripada sudut positif dan matang.

“Alangkah baik jika wujud sebuah institusi yang mempunyai tujuan sebaik UiTM yang membantu pelajar miskin dan tidak berkemampuan dan ia terbuka untuk mereka yang layak tanpa mengira bangsa.

“Kontroversi itu adalah salah faham dan mainan politik semata-mata dan saya tidak pernah kata untuk buka UiTM kepada bukan Bumiputera. Kenapa pemimpin UMNO begitu cepat melatah?,” soal Dyana Sofya.-Roketkini.com