Berita

“Kenapa hanya dedah nama ketua gangster India?” – Sivakumar

V Sivakumar 3IPOH, 9 SEPTEMBER: Polis diminta berlaku adil dengan mendedahkan semua nama ketua kongsi gelap dan tidak hanya mendedahkan nama ketua kongsi gelap di kalangan masyarakat India.

Ahli Parlimen Batu gajah, V Sivakumar melahirkan kekecewaan beliau berhubung pendedahan 30 nama ketua kongsi gelap India baru-baru ini oleh polis.

Katanya, dengan hanya mendedahkan nama mereka daripada kalangan masyarakat India, ia akan memberi persepi negatif terhadap orang ramai seolah-olah semua masyarakat India terbabit dalam gangsterisme dan sebagainya.

“Kenapa nama ketua kongsi gelap daripada kalangan bangsa lain tidak didedahkan? Kenapa polis hanya mendedahkan ketua kongsi gelap berketurunan India. Ini mencemarkan nama baik kaum India negara ini kerana sengaja dikaitkan dengan kegiatan haram yang terlampau,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pihak berkuasa mendedahkan sebanyak 49 pertubuhan haram terbabit dalam aktiviti kongsi gelap di negara ini.

“Namun, apabila disenaraikan nama ketua kongsi gelap, hanya 30 orang yang berbangsa India didedahkan. Kenapa pihak polis cuba melindungi pihak tertentu dan hanya memburukkan nama baik kaum India? Ini adalah tidak adil dan berbaur hasutan,” kata Sivakumar.

Ujar beliau, pendedahan tidak adil seperti itu akan memberi kesan negatif kepada imej dan sosio-ekonomi kaum India di Malaysia.

“Sebagai contoh, anak muda mungkin akan menghadapi masalah untuk mendapat kerja kerana majikan tidak berani memberi kerja kepada mereka? Belia India yang mahu berkecimpung dalam bidang perniagaan pula mungkin akan hilang peluang kerana imej negatif itu.

“Selain itu, murid sekolah juga mungkin dihina rakan dan guru dengan istilah yang kurang menyenangkan. Masyarakat India akan dihina dan menghadapi tekanan imej buruk untuk selama-lamanya jika perkara itu tidak ditangani dengan betul,” jelas Sivakumar.

Justeru, beliau menggesa pihak kementerian segera menangani masalah itu dengan berlaku adil kepada semua pihak.-Roketkini.com