Berita

PR: PPPM tiada perubahan substansif, abai kebimbangan sebenar

PPPMalaysiaCoverKUALA LUMPUR, 9 SEPTEMBER: Pakatan Rakyat (PR) menganggap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dibentangkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menunjukkan perubahan substantif serta tidak menangani kebimbangan dan maklum balas pelbagai pihak.

Pasukan Tugas Khas Pendidikan PR (PR Education Taskforce) berkata, Muhyiddin sepatutnya mengadakan pusingan kedua rundingan dengan pihak awam secara intensif untuk mendapatkan pandangan daripada kumpulan pihak berkepentingan yang berbeza agar dapat digabungkan dalam dokumen akhir PPM.

“Banyak pertubuhan NGO dan pihak berkepentingan meminta kementerian tidak tergesa-gesa melaksanakan pelan muktamad itu tetapi memberi lebih masa untuk membolehkan mereka mengkaji draf akhir.

“Malangnya Menteri memekakkan telinga kepada permintaan itu dan mengumumkan satu pelan muktamad yang tidak menarik yang mengabaikan banyak kebimbangan dan cadangan pihak berkepentingan serta tidak memberi keyakinan bahawa pembaharuan substantif dan reformis dalam sistem pendidikan negara.

“Apa yang ‘baru’ dalam pelan muktamad tidak bersifat ‘transformational’ dan gagal memberi keyakinan bahawa sistem pendidikan negara akan bertambah baik di bawah PPPM ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara inisiatif baru dalam PPPM yang diumumkan Muhyuddin baru-baru ini adalah mewajibkan kelulusan Bahasa Inggeris di tahap SPM pada 2016, sukatan pelajaran Bahasa Malaysia baru untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, meningkatkan peratusan soalan yang memerlukan kemahiran berfikir aras tinggi di peperiksaan UPSR, Tingkatan 3 dan SPM, menyusun semula Institut Pendidikan Guru (IPG) dan memperluaskan keperluan pendidikan khas.

Walaupun memuji visi, aspirasi dan program yang digariskan, PR menegaskan PPPM hanya melakukan perubahan ‘incremental’ dan bukannya pembaharuan yang amat diperlukan untuk memulihkan sistem pendidikan.

“Pandangan ini dinyatakan dalam sebuah memo dalaman Panel Penilai Bebas Malaysia yang diketuai Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak selepas pelan awal dikeluarkan. Pelan muktamad nampaknya tidak mengambil nasihat oleh panel terbabit yang ditubuhkan Menteri.

“Cadangan pihak berkepentingan sama sekali diabaikan. Pelan muktamad tidak menyebut langsung rancangan membina sekolah baru mengikut keperluan dan permintaan ibu bapa terutamanya Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

“Walaupun kita mengalu-alukan rancangan pengambilan guru daripada kalangan 30 peratus graduan terbaik, pelan muktamad tidak menggariskan sebarang rancangan untuk memastikan guru setiap ‘kohort’ menggambarkan masyarakat Malaysia yang majmuk.

“Pelan muktamad menggariskan strategi untuk menyerahkan lebih kuasa kepada agensi pendidikan di peringkat negeri dan tempatan, ia tidak memberi apa-apa peranan kepada kerajaan negeri dan tempatan yang juga merupakan pihak berkuasa yang berkepentingan,” ujarnya.

PR turut menempelak PPPM kerajaan yang tidak memberi penekanan kepada penyelarasan sekolah teknikal dan vokasional walaupun cuba untuk memperbanyak sumber terhadap sekolah itu.

“Walaupun niat memberi penekanan yang lebih dan mengalihkan lebih banyak sumber kepada pendidikan vokasional dinyatakan dalam pelan muktamad tetapi ia tidak menyentuh langsung usaha menyelaraskan sekolah teknikal, vokasional dan kemahiran di antara kementerian selain daripada Kementerian Pendidikan yang menawarkan program berkenaan iaitu Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan,” tegasnya. -Roketkini.com