Berita

DAP seru KPN hormati semangat Akta Kanak-Kanak 2001

TeresaKUALA LUMPUR, 10 SEPTEMBER: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok menggesa Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar melaksanakan tugas dengan menghormati semangat Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata, KPN juga harus mengeluarkan arahan kepada anggotanya agar mengikut garis panduan sesuai bagi memastikan hak kanak-kanak dihormati dan dilindungi setiap masa.

Menurutnya, walaupun mendapat pelbagai kritikan namun KPN tetap bertegas bahawa kanak-kanak boleh disoal siasat tanpa kehadiran ibu bapa.

“Saya ingin bertanya kepada KPN dua soalan, adakah anda benar-benar faham mengapa orang awam, peguam hak asasi manusia, Suhakam dan Majlis Peguam meminta mesti ada kehadiran ibu bapa jika pihak polis mahu menyoal kanak-kanak? Adakah anda faham apa dia semangat Akta Kanak-kanak 2001.

“Jika dia memahaminya, maka dia sepatutnya dapat memberi jawapan yang baik, memuaskan dan menyatakan “ya, kami faham ‘ketakutan dan kebimbangan orang ramai dan akan memastikan persetujuan serta kehadiran ibu-bapa” dan bergerak ke hadapan.

“Tapi dia mengecewakan orang ramai semalam apabila mendakwa ‘kehadiran ibu bapa tidak diperlukan’, ia amat mengecewakan dan membingungkan apabila KPN masih enggan melakukan tindakan betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Teresa Kok yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP  pada 8 September lalu mendesak IGP supaya menarik balik kenyataannya berikutan gesaan Suhakam dan Majlis Peguam Negara baru-baru ini yang meminta polis menghormati dan melindungi hak-hak kanak-kanak.

KPN terdahulu itu enggan memberi kerjasama dan bertegas dengan menyatakan ‘kami tahu bagaimana untuk menemubual kanak-kanak, kami juga mempunyai anak-anak’ terhadap kritikan yang dilemparkan dalam insiden SK Seri Pristana.

Beliau berkata, polis yang menemuramah murid juga adalah ibu bapa dan mereka menggunakan akal mereka ketika menyoal siasat murid-murid.

Pada 28 Ogos, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Junaidi Bujang menyatakan ‘tidak ada arahan’ diberikan ketika menyoal siasat kanak-kanak itu.

Menyelar tindakan itu, Teresa menegaskan jawapan itu langsung tidak meyakinkan orang ramai.

“KPN beberapa hari lalu menjawab dengan sombong ‘siapa kata kita tidak boleh menyoal siasat kanak-kanak?’ dan semalam beliau meminta ibu bapa percaya bahawa polis juga ‘mempunyai anak’

“Ketua Polis Negara perlu tahu bahawa jawapan itu tidak akan memberi inspirasi kepada keyakinan orang ramai dan mendapatkan sokongan.

“Cara terbaik untuk meyakinkan ibu-bapa adalah memastikan kehadiran mereka ketika disoal siasat,” ujarnya. -Roketkini.com