Berita

“Najib silap naik harga minyak”- ADUN DAP Mentakab

tengku zulBENTONG, 10 SEPTEMBER: Kerajaan tidak perlu tergesa-gesa menaikkan harga minyak jika pentadbiran kerajaan telus dan bebas rasuah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dalam satu kenyataan selepas satu protes kenaikan harga minyak di hentian rehat Karak, Bentong, kelmarin, berkata harga minyak tidak akan meningkat jika kerajaan memantapkan semua organisasi pentadbiran supaya lebih telus, berintegriti sekaligus dapat mengurangkan ketirisan.

“Tidak guna dapat pertambahan keuntungan atau dana tapi ketirisan berlaku,” ujar beliau.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga boleh memotong subsidi bagi syarikat besar seperti IPP (Penjana Kuasa bebas) dan gas yang berjumlah RM13 billion setahun.

“Subsidi petrol dan diesel kepada rakyat hanya RM14.8 bilion setahun. Kita dapat lihat ini bermakna subsidi orang korporat bersamaan dengan rakyat biasa.

“Hasil kenaikan ini walaupun hanya 10 peratus tapi kos sara hidup rakyat akan meningkat antara 10 hingga 15 peratus,” tambah beliau.

Ketua oposisi DUN Pahang itu berkata, kerajaan juga boleh mempromosikan dan memberi insentif kepada pengguna petrol atau diesel supaya bertukar kepada gas (NGV).

Dalam laporan Berita Harian pada 8 Mac lalu, Ketua Eksekutif Petronas, Shamsul Azhar Abbas berkata, Petronas mencatat kemerosotan keuntungan sebanyak 13.7 peratus walhal menurut laporan Audit Negara, Petronas menyumbangkan 47 peratus kepada pendapatan negara.

“Adakah kemerosotan hasil ini kerana perniagaan minyak ini diberi kepada syarikat kroni hingga menyebabkan kerajaan terpaksa membebankan rakyat dengan pemotongan subsidi kepada rakyat?,” soalnya.

Antara pemimpin yang turut serta dalam protes membantah kenaikan harga minyak ini ialah ADUN DAP Sabai, Kamachee Dorai Rajoo, ADUN DAP Ketari, Lee Chin Chin, ADUN DAP Bilut, Chow Hui Wai dan Yang Dipertua PAS Bentong, Ustaz Hamid. -Roketkini.com