Budaya

Sejarah ditulis oleh yang menang – siapa pemenangnya? Oleh Mahdzir Ibrahim

Malacca RiverSEJARAH bukan sekadar rakaman peristiwa lalu, rakaman sejarah juga boleh dilakukan secara terpilih. Pihak yang berkeupayaan melakukannya adalah yang memerintah yakni berkuasa (yang menang).

“Sejarah ditulis oleh pemenang”, demikian ungkapan Winston Churchill.

Maka tidak mengejutkan apabila kesahihan sesuatu rakaman sejarah itu dipertikaikan lebih-lebih lagi oleh pihak oposisi yakni yang kalah.

Dalam konteks Malaysia, pihak oposisi baik dari zaman Angkatan Perpaduan Ummah, Gagasan Rakyat hinggalah di zaman Pakatan Rakyat, kita akan selalu mendengar keluhan oposisi bagaimana pihak kerajaan UMNO/BN mempropagandakan sejarah demi mengekalkan survival kuasanya.

Dengan segala kuasa kemenangan yang ada, pihak yang menang mendakwa rakaman maklumat mereka adalah rasmi dan tepat. Dakwaan itu bukan sekadar dakwaan tetapi ia disahkan dengan ‘authority’ samada menerusi jalan undang-undang yang dicipta atau daripada persetujuan majoriti sokongan – kemenangan.

Maka rakaman oleh pihak yang menang diterima sebagai ‘rasmi’ dan perlu diterima dan dipatuhi oleh mereka yang kalah. Pada masa yang sama pihak yang kalah juga ada merakam maklumat, biasanya maklumat itu berbeza daripada rakaman si pemenang. Tetapi maklumat itu tidak dapat disahkan kerana ketiadaan faktor seperti faktor di pihak yang menang. Maka rakaman maklumat sejarah yang dikemukakan oleh si kalah, akan selalunya kalah. Inilah yang berlaku dalam realiti politik, lebih-lebih lagi di Malaysia.

Catatan rasmi VS tak rasmi

Sebagai contoh, kerajaan merakamkan bahawa manusia seperti Shamsiah Fakeh atau Mat Indera itu seorang komunis. Dalam konteks Malaysia, komunis yang bernama Shamsiah Fakeh atau Mat Indera ini adalah pengkhianat atau pengganas yang melancarkan perang terhadap negara atau raja. Maka beliau bukan seorang pejuang kemerdekaan dan tidak layak diangkat sepertimana tokoh lain yang catat dan diiktiraf secara rasmi oleh pihak yang menang – kerajaan.

Namun dalam catatan sejarah di pihak yang kalah atau pengkaji sejarah bebas, mendakwa Shamsiah Fakeh dan Mat Indera juga seorang pejuang kemerdekaan kerana mereka bukan berperang dengan raja atau rakyat Malaysia sebaliknya berperang menentang British termasuk Jepun.

Malah, fakta rasmi yang dicatat oleh kerajaan (pihak yang menang) sendiri menunjukkan bahawa British itu penjajah. Maka secara lojiknya, sesiapa yang menentang penjajah, mereka adalah pejuang negara.

Namun, maklumat atau fakta yang mengatakan Shamsiah Fakeh atau Mat Indera ini seorang pejuang tidak dapat disahkan atau diterima kerana ianya tidak mendapat restu daripada pihak yang menang – kerajaan. Tiada restu daripada kerajaan bermakna tidak sah atau tidak diperakui sebagai suatu fakta sejarah yang benar yang perlu diiktiraf.

Inilah satu daripada contoh konflik yang melanda kita. Dan segala paparan sejarah dalam pelbagai medium baik seni filem, teater, sastera, lagu, buku teks rujukan dan sebagainya, diambil dan bersumberkan catatan sejarah ‘rasmi’ yang bersimpang-siur ini.

13meiBagaimanapun, kedua-dua rakaman peristiwa yang bercanggah daripada kedua belah pihak ini, juga adalah satu sejarah tidak rasmi.

Demikianlah keadaannya dengan tragedi hitam 13 Mei 1969. Jika diteliti laporan Majlis Gerakan Negara (Mageran), kita akan dapat lihat banyak sumber rakaman yang tidak jelas sumber dan perinciannya.

Semua catatan laporan ini langsung tidak ada menyebut nama mana-mana pemimpin DAP secara spesifik yang terbabit secara langsung atau tidak dalam tragedi 13 Mei.

Tetapi sekembalinya Lim Kit Siang daripada lawatannya ke Borneo, beliau terus ditahan di Lapangan Terbang Subang oleh pihak berkuasa dan seterusnya ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Laporan Mageran itu bukan laporan biasa, ia adalah laporan berprofil tinggi yang dibuat oleh pihak berkuasa yang seharusnya lengkap, tepat dan menyeluruh. Namun, apa yang berlaku sangat mengelirukan.

Jika kita meneliti temubual eksklusif Lim Kit Siang yang diterbitkan oleh Roketkini, penahanan beliau mengikut ISA tiada kena-mengena dengan peristiwa itu, malah tidak ada satu soalan atau siasatan pun yang berkaitan dengan tragedi 13 Mei dikemukakan oleh pihak polis ketika dia dalam tahanan. Hingga kini kesahihan laporan Mageran tidak pernah dicabar atau dipersoal oleh mana-mana pihak. Ia menjadi enigma.

Sejarah baru

MINOLTA DIGITAL CAMERAGambaran ini menjelaskan lagi kepada kita bahawa sejarah yang dirakam oleh masa lalu sangat tidak jelas dan lengkap. Namun, menyalahkan catatan lampau oleh pihak yang menang, tidak akan menyelesaikan permasalahan atau memberi jawapan kepada cabaran masa hadapan.

Kini, dengan adanya teknologi, sejarah rakyat semakin jelas dapat dirakam. Kini rakyat sedang menulis sejarahnya daripada kaca mata mereka, daripada pengalaman mereka (rakyat) sendiri.

Selepas tragedi besar 13 Mei, apakah sejarah negara paling hebat dan besar pernah dialami oleh kita semua? Tentunya reformasi.

Reformasi ini adalah gerakan rakyat, walaupun ada yang mendakwa ia adalah gerakan segelintir penyokong fanatik Anwar Ibrahim, namun mereka bukanlah kelompok yang dominan.

Sejarah reformasi ini telah menjangkau 15 tahun. Siapa tahu barangkali selepas ini, sekumpulan pakar sejarawan bersama dengan rakyat akan melahirkan sebuah tugu peringatan mengenai reformasi. Atau mungkin perpustakaan reformasi atau galeri atau mungkin juga muzium reformasi.

Generasi baru pasca reformasi mencari-cari di manakah rakaman penting reformasi boleh dilihat, dibaca, ditonton, dihayati dan difahami dengan jelas.

Ketika inilah seharusnya bukti dan dokumen, didokumentasikan dengan lengkap, tersusun dan menyuluruh. Malah pakar yang ada boleh membantu menjilid dan mengumpul bahan penting itu di satu tempat yang boleh dikunjungi dan dirujuk.

Ia bukan sekadar monumental, tetapi sebagai simbol penting bahawa sejarah ditulis oleh mereka yang melakar sejarah itu sendiri – rakyat.

Apakah reformis yang jatuh terduduk dipukul Polis Simpanan Persekutuan (FRU) ketika reformasi tercetus dulu, rela membiarkan sejarah reformasi ditulis oleh kerajaan UMNO/BN?

Dan kini, walaupun tidak semuanya, tetapi Pakatan Rakyat telah menang dan menjadi kerajaan di negeri yang paling maju di Malaysia, Selangor dan Pulau Pinang. Malah, secara moralnya PR menang undi popular daripada rakyat. Kita bukan pihak yang kalah lagi.

Maka, kitalah yang seharusnya menulis sejarah kita. Reformasi!

Mahdzir Ibrahim, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP Kebangsaan, juga seorang peminat seni dan kebudayaan.