Berita

Fokus Sarawak: Bumiputera terus diugut, BN abaikan pembangunan

sarawak 1KUALA LUMPUR, 11 SEPTEMBER: Sebahagian besar kawasan Bumiputera di Sarawak ketinggalan daripada keperluan asas yang sepatutnya disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan pinggir bandar.

Antara masalah utama yang dihadapi penduduk sejak berdekad lamanya ialah kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air terawat dan sistem jalan raya.

Walaupun mereka tidak berpuas hati dan marah terhadap apa yang dilakukan kerajaan BN, mereka tetap menjadi mangsa ugutan politik.

Salimah anak Ngilah, 45, yang mengikuti rombongan perintis DAP ke Semenanjung minggu lalu meluahkan perasaan itu dengan berkata, keadaan kemudahan infrastruktur di kawasannya amat tidak memuaskan.

“Tengok saja jalan raya sudah tahu. Memang keadaan tidak baik. Rumah panjang yang kami tinggal juga hanya menggunakan generator sendiri, jalan raya masih jalan tanah merah, air masih guna system graviti yang ditarik (disalur) daripada bukit. Kalau musim hujan, air akan menjadi kotor, najis haiwan pun boleh bercampur dengan air,” ujar beliau yang kini Ketua Wanita DAP Sri Aman.

Selain itu, Salimah berkata, masyarakat kampung sering diugut supaya terus menyokong BN kononnya supaya kemajuan boleh dilaksanakan.

“Mereka tahu tidak ada kemajuan dilaksanakan sejak dulu lagi tetapi mereka pilih ‘dacing’ sebab diugut. Sekarang, mereka juga diugut kalau tidak bersama BN, nanti mereka tidak dapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” ujar beliau.

Ramping @ Gilbert anak Mua, 71, pula berkata, tindak tanduk BN yang ‘tidak sihat’ kerana asyik berjanji tetapi memungkiri janji yang ditabur telah mengubah persepsinya dan kini perjuangan bersama DAP.

“Mereka (BN) selalu cakap mengenai kemajuan tapi apa yang kami ada sekarang? Bila dating ke Semenanjung dan melawat Selangor memang jauh berbeza.

“Walaupun Sarawak sebuah negeri yang kaya, kenapa pembangunan yang dibuat tidak seperti yang dikatakan? Apa yang BN buat?,” soal beliau.

Manakala bagi Bennet anak Empin, 67, mendapati perjuangan BN sudah lari jauh daripada matlamat asalnya akibat ketamakan dan kepentingan diri pemimpin mereka.

Beliau yang kini Timbalan Pengerusi DAP Sri Aman berkata, banyak isu masyarakat atau isu nasional berjaya diperjuangkan DAP dengan baik dan mendapat perhatian.

“Perjuangan DAP tanpa mengira kaum atau agama. Berbeza dengan parti lain di Sarawak yang dilihat hanya memperjuangkan suku atau etnik tertentu,” ujar beliau.

Bennet berkata, setelah menyertai DAP, beliau melihat parti ini bukan sebuah parti Cina atau parti India yang sering sebelum ini diwar-warkan pemimpin BN.

“DAP ialah parti untuk semua rakyat Malaysia. Pandangan yang mengatakan DAP parti Semenanjung dan tidak sesuai bagi Sarawak bagi saya adalah satu pandangan dangkal sesetengah pemimpin BN,” jelasnya.

Ditanya bagaimana penerimaan penduduk kampung terutama yang tinggal di rumah panjang terhadap DAP, beliau berkata, masih ramai penduduk yang tidak menerima kunjungan DAP ke rumah panjang.

“Pemimpin BN biasanya menasihatkan penduduk supaya tidak menerima kunjungan kami (DAP). Ia berlaku bukan hanya masa kempen pilihan raya umum tapi juga pada hari biasa. Penduduk terlalu takut dan sebab itu kami susah mahu beri penerangan,” katanya.

Tambah beliau, selain itu politik wang juga memainkan peranan besar bagi mengekalkan pengaruh BN.

“Mereka (penduduk) memang tidak berpuas hati dengan kerajaan BN, tetapi mereka perlukan wang dan ramai yang masih miskin, disebabkan itu, BN mengambil peluang untuk main cara kotor gunakan wang,” kata beliau lagi.

Salang anak Umpang, 57, pula kagum terhadap dasar Merakyatkan Ekonomi Negeri yang dilaksanakan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.

Menurut beliau, apa yang dilaksanakan seperti pemberian air terawat percuma, skim Mesra Usia Emas dan sebagainya sangat wajar.

“Di Selangor orang meninggal pun diberi wang RM2,500 kepada keluarga, tetapi ini tidak berlaku di Sarawak. Kalau yang miskin kita tengok mereka terus miskin, ditinggalkan. Bila pilihan raya baru macam-macam nak beri,” katanya.

Salang juga optimis bahawa segala dasar yang dilaksanakan di negeri yang ditadbir PR mampu dilaksanakan di Sarawak jika PR diberi mandat kerana negeri Sarawak sememangnya berkemampuan berdasarkan pendapatan negeri.

“Kami sudah lihat apa dilakukan kerajaan Selangor dengan mata kepala sendiri, kalau dulu kita cuma dengar daripada jauh, sekarang kami sendiri sudah melawat Selangor,” ujarnya lagi.

Bagi anak muda, Tony Maurice, 28, beliau mendapat pendedahan langsung mengenai perjuangan DAP dan PR melalui media atas talian.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Sri Aman berkata, kesungguhan DAP membanteras rasuah menarik perhatian untuk bersama perjuangan parti sejak 2011.

“Sebelum ini saya banyak tahu mengenai DAP melalui internet seperti facebook dan saya juga selalu baca di Roketkini.com,” katanya.

Menurut Tony, masih ramai orang muda bumiputera di Sarawak yang tidak begitu berminat dengan politik dan ia harus diberi perhatian.

“Kebanyakannya tidak berapa kisah mengenai politik. Biasanya mereka yang berumur 30 tahun ke atas lebih ramai yang peduli kepada politik dan isu yang berlaku. Tetapi, apa yang dapat kami lihat, sokongan terhadap DAP dan PR semakin baik.

“Kami juga tak menafikan ramai juga yang masih takut untuk berterus terang menunjukkan sokongan kepada DAP kerana mereka takut tidak mendapat BR1M,” kata beliau.-Roketkini.com