Berita

DAP lancar program “Impian Sarawak”, bela masyarakat luar bandar

impian sarawak 3KUALA LUMPUR, 11 SEPTEMBER: DAP hari ini melancarkan program “Impian Sarawak” dalam rangka memperluaskan perkhidmatan parti dan memupuk kesedaran politik kepada masyarakat luar bandar negeri itu yang masih jauh ketinggalan mengecapi kemajuan kemudahan asas yang wajar.

Pelancaran “Impian Sarawak” yang disempurnakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu akan memberi fokus dalam menyediakan infrastruktur asas seperti kemudahan bekalan air, elektrik dan jalan raya membabitkan penyertaan sukarelawan dan penduduk kampung.

“Impian Sarawak” bermula daripada program Impian Malaysia yang diilhamkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu yang mana ia bertujuan demi mencapai perpaduan sejati Malaysia dengan latar belakang pelbagai kaum, agama, budaya, bahasa dan daerah.

“Untuk mencapai impian itu, DAP tidak boleh melakukannya secara bersendirian. Kami perlukan ramai ejen yang mahu menjadi sukarela, tidak semestinya ahli parti, siapa pun yang berminat dipersilakan” kata Guan Eng.

Impian Sarawak 2Menurut beliau, walaupun kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mentadbir Sarawak selama 50 tahun, masyarakat luar bandar negeri itu masih dalam keadaan daif dan tertindas walaupun Sarawak merupakan negeri yang berpendapatan tertinggi berbanding negeri lain di Malaysia.

“Lihat saja pada video pelancaran, orang kampung masih menggunakan air perigi yang berwarna, menadah air hujan, tiada bekalan elektrik. Mana dia kemajuan yang BN war-warkan?,” soal beliau.

Menurut Pengerusi Majlis Perundingan DAP Dayak Sarawak, Dr John Brian Anthony, projek Impian Sarawak itu merupakan satu program yang bakal memberikan kesan yang sangat positif kepada kehidupan masyarakat luar bandar.

“Kami bantu mereka untuk mendapatkan kemudahan air yang lebih sempurna, sesuatu yang tidak dilakukan kerajaan BN walaupun lama memerintah negeri ini.

“Selain itu, melalui program ini DAP akan menambah baik integrasi antara Semenanjung dan Sarawak sekaligus membuktikan kesungguhan parti untuk menaiktaraf kehidupan masyarakat luar Bandar yang tidak mendapat perhatian sewajarnya,” kata Dr John.

Bagi Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, pendedahan kesusahan yang dialami sebahagian besar masyarakat luar bandar Sarawak untuk mendapatkan bekalan air bersih sudah tentu akan mengejutkan ramai rakyat Malaysia.

“Perkara ini memang tidak wajar berlaku. Bayangkan, kerajaan negeri Sarawak mendapat hasil sebanyak RM6.62 bilion pada 2011, RM4.7 bilion (2012) dan RM4.066 bilion tahun ini tetapi amat menyedihkan bila kami lihat masih ramai rakyat negeri ini yang tidak ada kemudahan asas,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching.

Bagi mereka yang berminat menjadi sukarelawan “Impian Sarawak”, boleh lawati http://impiansarawak.com dan sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui emel ke [email protected] – Roketkini.com