Berita

Guan Eng nafi burukkan Malaysia kepada pelabur Hong Kong

lge 2GEORGE TOWN, 11 SEPTEMBER: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta Menteri Barisan Nasional (BN) dan media arus perdana berbahasa Inggeris yang dikuasai BN menghentikan pembohongan tidak masuk akal dan kasar yang mendakwa beliau memburukkan Malaysia kepada pelabur Hong Kong dalam misi pelaburan ke negara itu.

Sebaliknya, katanya, tidak mungkin beliau memburukkan Malaysia kepada pelabur Hong Kong kerana Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Malaysia.

Menurutnya, adalah lebih baik mereka mengambil kelas tambahan Bahasa Inggeris bagi meningkatkan perbendaharaan kata mereka supaya mereka tidak tersalah anggap.

“Sebahagian daripada program ke Hong Kong pada 3 hingga 5 September lalu, saya telah bertemu dengan diaspora Pulau Pinang untuk makan malam, mereka adalah anak Pulau Pinang tetapi kini bekerja, belajar atau tinggal di Hong Kong. Saya telah mengeluarkan teks ucapan saya kepada mereka di Pulau Pinang dan berharap ucapan itu dicetak semula sepenuhnya oleh media BN yang sebelum ini tidak mencetak teks asal saya tetapi hanya menerbitkan kenyataan mereka menyerang ucapan saya.

“Saya kesal kerana tahap bahasa Inggeris di kalangan Menteri BN dan media berbahasa Inggeris kawalan BN telah merosot pada tahap yang membimbangkan kerana perbendaharaan kata Bahasa Inggeris mereka amat lemah sehingga tidak memahami makna perkataan diaspora,” katanya dalam kenyataan media, di Komtar, hari ini.

Menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, dalam ucapan beliau mencadangkan kerajaan melaksanakan tender terbuka yang berdaya saing dan membanteras rasuah akan menjimatkan wang negara sebanyak RM51 bilion setahun.

Katanya, ini bagi membolehkan Perdana Menteri meyakinkan orang ramai atau membuktikan keikhlasan beliau terhadap keperluan menaikkan harga minyak RON95 sebanyak 20 sen bagi menjimatkan kos subsidi RM3.3 billion setahun.

“Tanpa langkah yang menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap rasuah, orang ramai akan dengan mudah mempertikaikan keikhlasan kerajaan dan melihat tuntutan untuk mengurangkan kos sebagai palsu.

“Mengapa rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah, perlu menanggung penderitaan membayar RM3.3 bilion setahun kerana peningkatan harga petrol jika tiada tindakan diambil terhadap penyamun politik yang mencuri RM51 bilion setiap tahun daripada negara ini.

“Dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Pakatan Rakyat 2013, berdasarkan pengalaman tanggungjawab fiskal dan memerangi rasuah oleh kerajaan negeri PR di Pulau Pinang dan Selangor, sekurang-kurangnya penjimatan 25% setahun boleh dicapai daripada kontrak perolehan kerajaan,” jelasnya.

Guan Eng berkata, lebihan bajet tahunan di Pulau Pinang, peningkatan rizab aset sebanyak 50% dan pengurangan hutang kerajaan negeri Pulau Pinang dengan rekod 95% membuktikan keberkesanan langkah integriti daripada tender terbuka yang berdaya saing kepada pengisytiharan aset awam.

Katanya, dengan anggaran RM201 billion kontrak perolehan Kerajaan Persekutuan setiap tahun, penjimatan minimum 25% akan berjumlah RM51 bilion.

“Mengapa kerajaan Persekutuan BN bersikap berkira pada satu sisi tetapi membenarkan pembaziran yang besar pada sisi lain dengan tidak memberi tumpuan kepada potensi penjimatan RM51 bilion yang memberi manfaat kepada hanya beberapa kroni kaya, bukannya memaksa 28 juta rakyat Malaysia menanggung RM3.3 bilion daripada kenaikan harga petrol.

“Bukan sahaja Kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan logik mudah ini, sebaliknya cuba mengalihkan perhatian daripada kesimpulan yang tidak dapat dielakkan dengan memainkan sentimen perkauman, agama dan pelampau.

“Taktik perkauman dan pelampau digunakan dengan jayanya oleh BN untuk mengelak daripada mendepani empat masalah sebenar Malaysia, iaitu jenayah, rasuah, peningkatan hutang kerajaan dan setiap isi rumah serta penurunan taraf pendidikan, produktiviti dan kemahiran tenaga buruh Malaysia.

“Di Hong Kong, ramai pelabur dan penganalisis mengenal pasti empat isu utama itu yang menjadikan Malaysia kurang menarik atau kurang berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata, mengurangkan jenayah tidak begitu sukar jika kerajaan Persekutuan BN bersedia membenarkan polis memerangi jenayah, bukannya memantau pemimpin pembangkang.

Menurutnya, pada masa ini hanya 10% daripada pasukan polis yang terbabit dalam penyiasatan jenayah dan jika jumlah itu meningkat kepada 50% daripada pasukan polis keseluruhannya, beliau yakin polis akan dapat menumpaskan penjenayah di Malaysia dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, BN mendakwa hutang Kerajaan Persekutuan kini 54% daripada KDNK, bagaimanapun ini tidak termasuk hutang dijamin kerajaan yang akan meningkatkan jumlah hutang kepada 70% jika hutang 70% kepada nisbah KDNK adalah tinggi, hutang isi rumah adalah lebih tinggi pada 83.5% daripada KDNK. Kebergantungan sedemikian kepada hutang adalah kesan pinjaman fiskal melulu sebagai jalan keluar mudah dari masalah negara kita. Kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan kepimpinan melalui teladan kepada setiap isi rumah dengan mengurangkan pergantungan hutang.

“Kerajaan Persekutuan juga gagal melabur untuk masa depan tanpa melabur dalam pendidikan yang berkualiti. Banyak pelabur asing dalam bidang teknologi tinggi berintensifkan pengetahuan merungut tentang kemerosotan kualiti dan penurunan tenaga kerja negara ini di semua peringkat, terutama penguasaan lemah Bahasa Inggeris.

“Dengan penetapan piawaian BN pada tahap cukup makan semata-mata, bukannya budaya kecemerlangan, kepada kuota politik, bukannya prestasi dan retorik kosong, bukannya tindakan konkrit, Malaysia berisiko ditinggalkan bukan sahaja oleh pelabur asing berteknologi tinggi, tetapi juga bakat terbaik kita yang berhijrah ke negara lain seperti Hong Kong,” tambahnya.

Menurut Guan Eng, Kerajaan negeri Pulau Pinang berani menawarkan model di mana prestasi adalah lebih penting berbanding latar belakang politik, di mana usaha dibuat untuk menarik institusi pendidikan yang berkualiti di semua peringkat, di mana sebuah kerajaan yang jujur dan cekap melalui perkongsian dengan sektor swasta dan awam serta sebuah bandar yang selamat, bersih, hijau dan sihat boleh memberikan penyelesaian kepada empat masalah yang disebut tadi.-Roketkini.com