Berita

Lynas: “Sudah jadi malapetaka, baru terhegeh-hegeh nak bertindak”: Tengku Zulpuri Shah

tengku zulKUALA LUMPUR, 11 SEPTEMBER: Seluruh rakyat Malaysia diseru terus memberi sokongan kepada Kumpulan Himpunan Hijau yang sedang berkempen mendapatkan sejuta tandatangan bagi membantah kilang memproses nadir bumi Lynas yang berisiko mengeluarkan pencemaran radioaktif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji ketika ditemui di Dataran Merdeka malam tadi, berkata perjuangan yang dibawa NGO Himpunan Hijau harus didokong demi masa depan generasi dan bumi Malaysia yang selamat dan bersih selaras dengan aspirasi dan pendirian DAP sendiri terhadap Lynas.

Tengku Zulpuri Shah berkata, kesungguhan NGO itu sehingga sanggup bermalam di Dataran Merdeka yang kini masuk malam ke-18 harus menjadi pemangkin semangat kepada semua bahawa rakyat Malaysia berhak hidup dalam keadaan persekitaran yang bebas daripada pencemaran berbahaya.

“Sebelum ini juga mereka menunjukkan kesungguhan yang sangat kuat  apabila berjalan sejauh 300 kilometer selama 13 hari bermula dari Kuantan dan berakhir dengan perarakan besar-besaran di Dataran Merdeka.

“Adakah bila berlaku malapetaka baru kita sibuk mahu buat kajian? Bagi pandangan saya, kehadiran kilang dari Australia itu hanya bermotifkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan risiko yang ditanggung rakyat terutamanya mereka yang tinggal di Kuantan,” katanya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack ketika ditemui berkata, tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang seolah-olah menjadi jurucakap kepada kilang Lynas itu amat mengecewakan malah tindakan kerajaan itu dilihat tidak peduli terhadap keselamatan awam dan negara.

“Saya tidak lagi peduli kepada kerajaan kerana mereka sendiri menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab.

“Sebab itu, tujuan kita mengumpulkan sejuta tandatangan ini untuk menunjukkan satu mesej yang kuat, tegas dan jelas kepada pihak kilang dan komuniti antarabangsa terhadap kepedulian kita rakyat Malaysia mengenai isu ini,” kata Wong Tack.

Menurutnya, selain kempen mengumpulkan tandatangan itu, pihaknya akan berusaha mengenakan tekanan kuat kepada institusi kewangan yang membiayai kilang asing itu.

Kempen mengumpul tandatangan itu akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Parlimen Malaysia dan semua organisasi yang mempunyai hubungan dagang dengan Lynas apabila mencecah sejuta orang.

Sehingga semalam, hampir 700,000 tandatangan berjaya dikumpul dan Himpunan Hijau mensasarkan 16 September ini untuk mencapai sejuta tandatangan. Mereka yang belum menurunkan tandatangan boleh berbuat demikian di kaunter khas Himpunan Hijau di Dataran Merdeka.-Roketkini.com