Berita

Sanggupkah KP ROS sekali lagi bertindak ikut skrip UMNO/BN?

03.06.13-LKS-ceramah kluang-perjuangandi teruskan (14)KUALA LUMPUR, 11 SEPTEMBER: Kajian yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu menunjukkan batalion Demolish, Destroy DAP (DDD) UMNO/BN, termasuk Perdana Menteri dan Menteri Kabinet serta Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Datuk Abdul Rahman Othman turut terbabit dalam konspirasi dan kempen menyerang kepimpinan DAP.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata permulaannya KP ROS menunjukkan sikap bebas, adil dan profesional seperti dalam kenyataannya Januari lalu bahawa pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hanya akan berlaku jika ada bukti kukuh berlaku percanggahan dalam proses pemilihan itu.

Bagaimanapun, katanya, sejak beberapa bulan lalu KP ROS kelihatan mula tunduk kepada tekanan konspirasi kempen DDD UMNO/BN apabila beliau enggan mengemukakan bukti kukuh secara bertulis berhubungan dakwaan percanggahan dalam proses pemilihan CEC hingga mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula.

Menurutnya, modus operandi KP ROS juga menunjukkan beliau mengikut skrip kempen DDD UMNO/BN terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 dengan agenda melenyapkan DAP dan Pakatan Rakyat daripada arena politik negara.

“Pada awalnya kempen itu bertumpu pada risalah misteri ““The Equity Report (CEC Election Fraud)” yang ditulis penulis hantu bernama “Father Augustus Chen”.

“Walaupun risalah itu diterbitkan secara haram tanpa nama pencetak atau penerbitnya seperti yang diwajibkan oleh undang-undang Malaysia, ia diberi “layanan diraja” dan dipetik secara bebas oleh media kawalan UMNO/BN dan disebarkan ke seluruh negara,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, berdasarkan lambakan publisiti dan propaganda terhadap DAP dalam media kawalan UMNO/BN, jelas batalion dan konspirasi DDD sedang menjalani proses pengembangan.

Menurutnya, pembohongan dan fitnah terhadap DAP kini bukan saja diterbitkan dalam media berbahasa Malaysia dan Inggeris, malah turut diterbitkan dalam bahasa Cina dan Tamil, selain penubuhan batalion baru DDD UMNO/BN, antaranya Jaringan Cina Malaysia.

“Pembohongan dan fitnah terus dijana oleh DDD UMNO/BN untuk memberikan gambaran palsu bahawa kepimpinan DAP sedang berpecah-belah dan terkini mendakwa Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak bersetuju dengan beberapa perkara berkaitan penganjuran Kongres Istimewa DAP pada 29 September ini.

“Tiada kebenaran atau asas bagi pembohongan terbaru ini, seperti dakwaan sebelum ini mengenai “753 perwakilan, sebahagian besar berketurunan India” tidak diberi notis mengenai Kongres DAP di Pulau Pinang, Disember lalu dan dinafikan hak untuk hadir dan mengundi pada pemilihan CEC.

“Hakikatnya, semua perwakilan yang layak ke Kongres DAP itu diberi notis dan juga tidak benar bahawa “753 perwakilan, kebanyakan berketurunan India” tidak diberi notis, sedangkan hanya 100 daripada 753 perwakilan yang tidak hadir itu yang berketurunan India.

“Sebelum ini, DAP mengabaikan semua pembohongan itu, tetapi pendekatan itu mendorong batalion DDD UMNO/BN mengulangi pembohongan dengan mendakwa DAP diam seolah-olah dakwaan itu benar,” katanya.

Kit Siang berkata, untuk makluman, keputusan DAP mengadakan Kongres Khas dan semua perkara lain pada 29 September ini sudah dipersetujui secara sebulat suara oleh semua anggota CEC, termasuk Karpal.

Katanya, persoalannya sekarang, sanggupkan KP ROS akan sekali lagi bertindak mengikut skrip kempen DDD UMNO/BN dan mengambil langkah berdasarkan pembohongan terbaru itu.-Roketkini.com