Berita

Menteri UMNO keluar kenyataan mengarut, memalukan

Teresa kok 2KUALA LUMPUR, 12 SEPTEMBER: Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh diminta bertindak lebih waras daripada mengeluarkan kenyataan mengarut  berhubung kritikan yang diterima kerajaan terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang diumumkan baru-baru ini.

Menurut Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, kenyataan menteri berkenaan yang mahu mereka yang tidak berpuas hati terhadap PPPM boleh menghantar anak mereka belajar ke luar negara tidak boleh diterima sama sekali.

“Kami hairan, mengapa seorang menteri boleh mengeluarkan kenyataan yang mengarut seperti itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini kerana menurut Teresa, adalah menjadi perkara biasa bila mana bukan semua dasar kerajaan dapat memuaskan hati semua pihak.

Teresa kemudian membuat perbandingan ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Ketika itu ramai yang tidak berpuas hati. Soalan saya, adakah Dr Mahathir boleh menyuruh mereka yang tidak bersetuju dengan dasar itu supaya menghantar anak mereka belajar di luar negara.

“Manakala pada 2009, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin kemudiannya mengumumkan perubahan terhadap PPSMI kepada penggunaan Bahasa Malaysia dan menyebabkan sebahagian rakyat tidak bersetuju.

“Soalan kedua saya kepada Idris ialah, adakah kerajaan boleh memberitahu rakyat termasuk Dr Mahathir untuk menghantar cucu beliau belajar ke luar negara jika mereka menentang dasar kerajaan ini,” soal Teresa.

Dalam masa yang sama, Teresa mengingatkan kerajaan supaya lebih bertanggungjawab terhadap sebarang perancangan dasar negara.

“Kita bukan sahaja mahu lihat sesuatu dasar itu baik dan mantap tetapi juga perlu mengambil kira pendapat pihak luar yang memberi cadangan,” katanya. -Roketkini.com