Berita

Zahid Hamidi digesa jelaskan kelambatan polis selesai kes langgar lari di Taiping

Gobind - bKUALA LUMPUR, 12 SEPTEMBER: Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jawapan kepada kegagalan polis untu bertindak terhadap kejadian langgar lari yang mengorbankan tiga nyawa, 18 Jun lalu.

Beliau juga mempertikai mengapa pihak polis perlu menunggu hingga tiga bulan untuk mendapatkan laporan kimia sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Ini tidak boleh diterima sama sekali. Kenapa boleh berlaku sebegitu lama untuk mendapatkan laporan kimia?

“Terdapat banyak kesalahan lain yang turut berlaku di sini, siasatan tidak semestinya perlu bergantung kepada laporan kimia semata. Jadi, mengapa polis begitu lambat bertindak?,” soalnya dalam kenyataan, semalam.

Laman portal berita, The Malay Mail, semalam melaporkan bahawa pihak polis masih menunggu untuk melihat laporan kimia bagi menentukan kewujudan suspek, seorang ahli perniagaan terkenal yang memandu di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah sebelum ini turut memberi jaminan polis akan menjalankan siasatan secara telus mengenainya.

Kemalangan ngeri yang berlaku di Kilometer 13.9, Jalan Taiping-Kuala Sepetang itu menyebabkan tiga terbunuh dan tiga yang lain cedera.

Mereka yang terbunuh ialah Harvinder Singh, 28, Mohd Zaini Abdullah (57 tahun) dan isteri, Radziah Mohd Yusoff (55 tahun).

Rakan Harvinder, Mohd Ismail Md Ramli (22 tahun), Johari Zakaria (45 tahun) serta seorang penunggang motosikal tidak dikenali pula mengalami kecederaan dan patah kaki.

Gobind Singh yang juga Ketua Biro Undang-Undang DAP menegaskan, tanggungjawab kini terletak sepenuhnya di bahu Zahid Hamidi untuk menjelaskan mengapa tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap sesiapa sehingga kini.

“Menteri Dalam Negeri tidak boleh terus berdiam diri. Kes ini membabitkan kebimbangan awam, ia juga menimbulkan keraguan terhadap janji dibuat beliau sebelum ini yang kononnya polis akan menguatkan jentera dan bertindak seberapa segera sebagai usaha untuk memenangi keyakinan rakyat dan mendapat sokongan.

“Saya juga akan bangkitkan isu ini pada sidang Parlimen akan datang,” tegasnya. -Roketkini.com