Berita

50 tahun bentuk Malaysia, BN biar bumiputera Sarawak miskin

leon jimatKUALA LUMPUR, 13 SEPTEMBER: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sengaja membiarkan masyarakat bumiputera Sarawak terus berada dalam kemiskinan dan tertindas supaya mereka boleh terus menguasai negeri Bumi Kenyalang itu.

Pengerusi DAP Sri Aman, Leon Jimat Donald berkata, BN lebih senang melihat  masyarakat di luar bandar negeri itu terus bergantung kepada kerajaan dalam banyak perkara kerana dengan cara itu BN boleh menggunakan apa sahaja sumber demi kepentingan politik mereka.

“Ini memang satu modul jahat BN. Semua pun tahu. Jika semua masyarakat di Sarawak ada duit, berkemampuan dan sekurang-kurangnya berpendapatan sederhana, BN akan hancur sebab mereka tidak boleh lagi mengugut dan menggugat ekonomi rakyat,” ujarnya.

Beliau memberi contoh bagaimana masyarakat luar bandar dan pedalaman negeri itu sengaja tidak diberi bantuan modal dan dilarang menanam tanaman cash corp seperti sawit di tanah adat (NCR) mereka dengan alasan yang tidak munasabah.

“Mereka kata itu tanah kerajaan, jangan tanam. Sedangkan itu sememangnya tanah NCR penduduk.

“Kalau penduduk kampung menanam di situ, kerajaan BN memang akan mengalami kesukaran mendapatkan kembali tanah itu. Jadi, nak mudah, mereka terus halang,” katanya.

Menurut Leon, mereka yang memiliki tanah NCR di Sarawak ialah di kalangan bumiputera termasuk orang Melayu.

Tambah beliau, apa yang berlaku di Sarawak ini jauh berbeza dengan apa yang berlaku di negeri pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) seperti di Selangor.

“Selangor bukan sahaja memberi bantuan modal kepada petani tetapi mereka melaksanakan dasar merakyatkan ekonomi negeri yang berkesan,” ujarnya.

Leon ditemui ketika mengetuai rombongan 31 aktivis DAP-PR Sri Aman ke Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini untuk melihat dengan lebih dekat kejayaan dasar merakyatkan ekonomi negeri yang dilaksanakan.

“Apa yang berlaku, kita dapat lihat dua jurang pembangunan yang berbeza antara Selangor dan Sarawak. Adakah keadaan ini boleh dibanggakan walaupun Sarawak sudah bersama Malaysia 50 tahun,” soal beliau.-Roketkini.com