Rencana

Berbulan siasat DAP, sekarang baru ROS kata tak ada bukti?

cabai-burungA1MAHU atau tidak, terpaksalah DAP menunduk muka menurut arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya dibuat balik pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang konon diragui kesahihannya.

Kalau tidak diturut, kena hari susahlah nasib badan. Silap-silap, parti pula dibatalkan pendaftaran. Serupa nasibnya macam UMNO bila diharamkan pada 1988 akibat kegelojohan politik Dr Mahathir masa itu.

Maka, parti skema DAP ini tidaklah pula mahu berdegil. Bersetujulah sekalian pimpinan parti baik yang kecil atau yang besar untuk menurut sahaja perintah ROS itu demi kebaikan semua pihak, biar mudah semua urusan.

Tapi tiba-tiba, hari ini satu Malaysia jadi hairan bila ROS yang nampak bersungguh-sungguh benar mahu membetulkan salah-silap DAP rupanya tidak ada bukti kukuh untuk tidak mengiktiraf CEC yang dipilih perwakilan Disember tahun lalu.

Yang peliknya, macam mana ROS sebagai tukang siasat DAP sampai  berbulan-bulan, sampai kecoh ke tengah malam, rupa-rupanya tidak ada bukti kukuh??!!!

Kisah ini tersembul keluar bila Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman sendiri bercakap kepada media bahawa mereka mahu 500 surat pengakuan asal perwakilan DAP yang ditandatangani sebagai tidak hadir bagi pemilihan CEC pada kongres parti itu 15 Disember tahun lalu.

Alahai ROS…. maka benarlah kata Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh:

“Tindakan ini menunjukkan ROS seperti tidak mengesahkan aduan bahawa perwakilan tidak diberitahu. Jika itu berlaku, apakah asas bagi keputusan mereka? Tidakkah mereka menyemak perkara ini betul-betul setelah mengambil masa berbulan-bulan menyiasat?”

Dalam kesibukan persiapan pemilihan semula DAP akhir bulan ini, adakah kenyataan bos besar ROS itu menggambarkan dia sedia untuk terima hakikat bahawa pihaknya sudah ‘berdosa’ kepada DAP?

Apa lagi mahu dikata mereka? Apa lagi mahu dilapor Utusan Malaysia? Sudah-sudahlah…-Roketkini.com