Berita

Karpal fail notis batal permohonan injunksi David Dass

karpal  sons_6278 (1)KUALA LUMPUR, 13 SEPTEMBER: Mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar permohonan injunksi yang difailkan bekas ahli DAP, David Dass bagi menghalang pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang bakal berlangsung pada 29 September ini.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh dalam affidavit menyokong pemfailan notis bagi mendengar pembatalan injunksi itu menyatakan bahawa pihak mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tindakan terbabit berdasarkan peruntukan Seksyen 18C, Akta Pertubuhan 1966.

Karpal memfailkan notis permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi memohon pembatalan terhadap writ dan pernyataan tuntutan David yang difailkan tiga hari lalu yang menyatakan pemilihan khas CEC nanti adalah bertentangan dengan perlembagaan parti.

Namun Karpal melalui afidavit sokongannya berhujah bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 jelas menyatakan bahawa, “‘Keputusan parti politik atau mana-mana orang yang diberi kuasa olehnya […] adalah muktamad dan konklusif,

“Dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji semula, dibatal atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan sekalipun,

“Dan tidak ada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding di mana-mana alasan mengenai kesahihan keputusan terbabit.”

Karpal menyatakan bahawa tindakan serta notis permohonan David untuk injunksi bertarikh 10 September 2013, harus dibatalkan mengikut peruntukan Aturan 18 Kaedah 9 (1) (a) (b) dan (d) Kaedah-kaedah Mahkamah, 2012. – Roketkini.com