Berita

ROS tidak siasat aduan, tiada bukti kukuh – Gobind

gobind 2KUALA LUMPUR, 13 SEPTEMBER: Pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak mempunyai bukti kukuh sewaktu membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan mengarahkan pemilihan semula apabila ia jelas gagal menjalankan siasatan rapi ke atas dakwaan yang diterimanya.

Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo dalam kenyataan medianya itu juga menganggap kenyataan Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman semalam sebagai dangkal.

Abdul Rahman dilaporkan berkata beliau masih menanti DAP memberi mereka 500 surat pengakuan asal perwakilan DAP yang ditandatangani sebagai tidak hadir bagi pemilihan CEC pada kongres parti itu 15 Disember tahun lalu.

“Tindakan ini menunjukkan ROS seperti tidak mengesahkan aduan bahawa perwakilan tidak diberitahu. Jika itu berlaku, apakah asas bagi keputusan mereka?

“Tidakkah mereka menyemak perkara ini betul-betul setelah mengambil masa berbulan-bulan menyiasat?,” soal Gobind.

Ahli Parlimen DAP Puchong itu berkata, dakwaan Abdul Rahman itu adalah tidak masuk akal dan tidak kena pada tempatnya.

“Adakah beliau kini sedia untuk menerima kenyataan bahawa keputusan yang dibuat ROS sebelum ini adalah tidak matang dan silap.

“Atau adakah Abdul Rahman juga akan memberi jaminan penuh bahawa ROS akan membatalkan keputusannya mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC jika kami menunjukkan surat yang dimahukan itu,” soal Gobind.

DAP sentiasa bertindak profesional dan telus apabila memberi maklum balas secara rasmi kepada semua surat Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang ditetapkan 29 September ini.-Roketkini.com