Berita

Steven Sim cabar Shafie Afdal berdebat

Steven Sim 1BUKIT MERTAJAM, 13 SEPTEMBER: Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong hari ini mencabar Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal berdebat mengenai ‘Siapa tokoh pejuang kemerdekaan negara’.

“Memandangkan Shafie Afdal melabelkan saya ‘buta sejarah’, saya dengan segala hormatnya menjemput beliau berdebat mengenai sejarah dengan tajuk ‘Siapakah tokoh pejuang kemerdekaan negara kita?’ Disebabkan beliau membuat kenyataan menghina itu di Balik Pulau, maka saya juga mencadangkan debat itu diadakan di kawasan Balik Pulau.

“Saya ingin menggunakan peluang ini untuk menunjukkan bagaimana UMNO-BN telah melakukan revisinisme sejarah termasuk dalam sukatan pelajaran sekolah, sekaligus memperbodohkan rakyat dengan memberi gambaran tidak tepat mengenai sejarah negara.

“Kalau beliau begitu yakin bahawa UMNO tidak pernah melakukan revisinisme sejarah, maka tiada alasan untuk menolak pelawaan debat ini. Jika beliau tidak berani, saya harap beliau akan memohon maaf atas kenyataan menghina dengan mendakwa saya ‘buta sejarah’. Saya menunggu Pak Menteri memberikan maklum balas,” katanya dalam kenyataan.

Steven yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Shafie baru-baru ini.

Shafie pada 8 September lalu menyifatkan Steven sebagai buta sejarah kerana enggan menerima hakikat pembabitan UMNO/BN dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dan mempertahankan Sasterawan Negara, A Samad Said serta aktivis lain yang ditahan kerana memperingati sejarah.

(http://www.sinarharian.com.my/mobile/arkib/shafie-ahli-parlimen-bukit-mertajam-buta-sejarah-1.199964)

Menyelar dakwaan Shafie itu, Steven menegaskan Shafie terbukti gagal memahami kenyataan sebenar yang dimaksudkannya.

“Saya kecewa kerana sebagai seorang Menteri dan pemimpin kanan parti, Shafie jelas gagal memahami kenyataan saya atau beliau langsung tidak membacanya sebelum memberi komen yang menghina itu.

“Saya tidak pernah menyangkal sumbangan tokoh seperti Tunku Abdul Rahman dalam perjuangan kemerdekaan, tetapi saya jelas menyatakan bahawa BN telah menjadikan sejarah sebagai alat propaganda dan melakukan revisinisme sejarah (historical revisionisme) dengan memberi gambaran sejarah yang tidak tepat dan hanya berpihak kepada mereka semata-mata.

“Contohnya tokoh kemerdekaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan gabungan parti progresif PUTERA-AMCJA tidak mendapat layanan setara dengan perjuangan mereka yang begitu digeruni penjajah sehingga tokoh dalam organisasi ini menghadapi penindasan kerajaan penjajah,” tegasnya. -Roketkini.com