Berita

Yuen sahkan insiden ‘kencing’ pada 13 Mei 1969 rekaan: Kit Siang

Black505_LKS_1KUALA LUMPUR, 13 SEPTEMBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berterima kasih kepada bekas pegawai atasan polis, Tan Sri Yuen Yuet Leng yang mengesahkan insiden ‘kencing’ di depan kediaman Menteri Besar Selangor pada 13 Mei 1969 adalah rekaan kerana beliau tidak pernah dengar insiden itu walaupun bertugas di Kuala Lumpur ketika rusuhan itu berlaku.

Katanya, beliau juga meluahkan bantahan terhadap laporan yang diterbitkan akhbar Sun berjudul ‘Communists helped opposition win seats’ in 1969’ yang memetik kenyataan Yuen bahawa “komunis telah membantu parti pembangkang, termasuk DAP, untuk memenangi sejumlah besar kerusi pada Pilihan Raya Umum 1969.”

Beliau menganggap dakwaan Yuen itu sebagai suatu perkara baru kerana ia bertentangan dengan apa yang sebenarnya berlaku menjelang Pilihan Raya Umum 1969 dan hasil kajian para sarjana ke atas pilihan raya umum berkenaan.

Ini kerana, menurutnya, ketika itu komunis menyeru rakyat memboikot PRU 1969, manakala parti pembangkang yang menyertai pilihan raya itu dikecam komunis sebagai “juak” dan “boneka” Perikatan kerana tidak menyambut seruan mereka untuk “menghancurkan jalan berparlimen” dan memilih “pergelutan massa.”

“Bagaimanapun kempen komunis menyeru pengundi memboikot pilihan raya 1969 itu gagal kerana peratusan keluar mengundi tetap tinggi, iaitu 72%, walaupun angka itu lebih rendah berbanding 79% pada PRU 1964 dan 73% pada 1959, tetapi lebih tinggi daripada PRU 1986 iaitu 70% dan 71% pada 1999.

“Atas sebab itu dalam tulisan saya ketika berada dalam tahanan ISA pada 1969 dan dalam ucapan yang disampaikan sejurus selepas pembebasan pada 1970, saya menyatakan keluhan kerana kita terlepas peluang besar untuk memartabatkan perjuangan demokrasi di negara ini,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, contohnya, dalam ucapan di Pulau Pinang pada 22 November 1970, sempena pembebasan itu beliau menyatakan:

* Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969 adalah mercu tanda demokrasi di Malaysia yang dihancurkan oleh keganasan dan pertumpahan darah rusuhan 13 Mei 1969.

* Walaupun Perikatan telah kecewa besar, pihak yang paling teruk menanggung kekalahan berikutan Pilihan Raya Umum 10 Mei itu adalah mereka yang giat berkempen menyeru orang ramai untuk memboikot pilihan raya umum atas alasan demokrasi di Malaysia adalah palsu dan satu helah untuk memperdayakan rakyat.

* 10 Mei 1969 adalah perisytiharan rakyat Malaysia bahawa mereka lebih memilih proses demokratik daripada kaedah perjuangan politik yang tidak demokratik dan untuk membawa perubahan sosial, ekonomi dan politik yang mereka kehendaki, mereka lebih memilih penggunaan akal di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri daripada penggunaan kekerasan dan keganasan.

Menurutnya, beliau dan Yuen mungkin tidak akan bersetuju mengenai semua perkara yang berlaku 44 tahun lalu, kerana mempunyai pandang berbeza mengenai latar politik pada 1969, namun kami tidak meragui integriti dan semangat patriotik masing-masing.

Sebab itu, Kit Siang berkata, sesuatu yang jijik, jelik dan melampau apabila sebahagian juru propaganda dan cybertrooper UMNO/BN mempergunakan laporan akhbar Sun itu untuk menyatakan secara tersirat bahawa saya adalah seorang komunis.

Beliau berharap rakyat Malaysia belajar daripada tragedi lalu, termasuk rusuhan kaum 13 Mei 1969, supaya tidak menuding jari menuduh sesiapa saja sebagai dalang kerana 44 tahun sudah berlalu kerana sampai masanya negara mengetahui perkara sebenarnya yang berlaku pada masa lalu untuk membina negara Malaysia yang bersatu-padu, harmoni, adil dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

“Kebelakangan ini, banyak pembohongan dan kepalsuan disebarkan mengenai rusuhan kaum 13 Mei 1969, antaranya menuduh saya sebagai pencetus rusuhan dan melaungkan slogan anti-Melayu dalam perarakan di Kuala Lumpur selepas PRU 10 Mei 1969, sedangkan saya tidak berada di Kuala Lumpur ketika itu, selain pembohongan insiden “kencing”.

“Baru tadi saya bertanya bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas itu menerusi telefon sama ada beliau pernah mendengar mengenai insiden “kencing” pada tiang bendera di depan kediaman Menteri Besar Selangor, memandangkan beliau bertugas di Kuala Lumpur pada hari kejadian 13 Mei 1969 dan kerana beliau sendiri mengakui dalam autobiografinya, Nation Before Self, dan berbangga bertugas sebagai anggota polis pada 13 Mei 1969,” katanya.

Kit Siang berkata, Yuen bukan sekadar mengesahkan insiden kencing di depan kediaman Menteri Besar Selangor pada 13 Mei 1969 itu adalah rekaan semata-mata, malah mengatakan bahawa kalau memang ada orang yang berani berbuat demikian, tidak mungkin orang itu dapat meninggalkan kediaman Menteri Besar Selangor dalam keadaan bernyawa.-Roketkini.com