Rencana

Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera – Jika ‘Melayu masih ingat’ : Oleh Mahdzir Ibrahim

moneySECARA formalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1970 sudah tiada selepas 1990, ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri menggantinya dengan Dasar Pembangunan Nasional.

Kemudian Datuk Seri Najib Razak pula menukarnya sekali lagi setelah Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga di Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) menjadi Model Ekonomi Baru (MEB) pada 2010.

Malah pada zaman Najib juga, MEB disertai dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Intipati kepada ketiga-tiga dasar ini tetap sama sungguhpun namanya berbeza.

Saya pernah bertanyakan perkara ini dengan rakan daripada kaum Cina. Adakah beliau merasa tidak selesa dengan DEB atau DPN atau MED. Mereka jawab, tidak. Mereka sama sekali tidak risau atau bimbang atau terganggu dengan agenda DEB, DPN atau MEB kerana mereka mengakui bahawa dasar tersebut punya sebab yang boleh diterima.

Realiti bahawa majoriti penduduk Malaysia, lebih dari 60 peratus adalah kaum Bumiputera (lebih 50 peratus adalah Melayu) dan kaum majoriti inilah yang paling diancam kemiskinan.

Justeru itu, katanya, kaum Cina atau India juga, tidak pun merasa cemburu atau merasa terancam, malah mereka boleh memahami dan menerimanya.

Namun, jelasnya lagi bukan niat atau objektif dasar itu yang dipertikaikan, tetapi bagaimana dasar itu dilaksana. Inilah juga yang disepakati oleh ramai rakan Melayu yang lain.

Rekod lampau

Ratusan billion ringgit telah dibelanjakan sejak Rancangan Malaysia Kedua (1970an) untuk melaksanakan semua dasar kerajaan itu. Namun, bukan sahaja objektifnya gagal dicapai malah, jika ‘Melayu masih ingat’, ada direkodkan berlakunya pelbagai skandal penyelewengan dalam kerajaan, sejak zaman penswastaan Tun Dr Mahathir (kes MAS/Tajudin Ramli dan krisis ekonomi 1997), zaman Tu`qn Abdullah Ahmad Badawi (laporan audit Negara seperti kerugian berbillion yang ditanggung kerajaan akibat kelemahan mengurus dalam projek keretapi berkembar Ipoh-Rawang) hingga ke zaman Najib (kes pembelian kapal selam, peralatan tentera dan kes NFC).

Jika ‘Melayu masih ingat’, pada 2011, Global Financial Integrity melaporkan, sekitar RM888 billion ringgit wang haram mengalir keluar negara daripada 2000 hingga 2008.

Ini belum termasuk laporan Ketua Audit Negara mengenai pelbagai lagi ketirisan akibat kecuaian pihak kerajaan, baik di peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dalam pelbagai projek yang lain. Ini pun jika ‘Melayu masih ingat’.

Siri pendedahan dalam laporan audit negara setiap tahun masih gagal membuahkan tindakan drastik oleh kerajaan dalam menangani rasuah dan ketirisan dalam pengurusan kerajaan. Juga, tidak ada banyak tindakan konkrit yang diambil pihak berkuasa, sebaliknya masih banyak kes dan pendakwaan yang berkaitan rasuah masih tertangguh.

Peruntukan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus meningkat dalam bajet setiap tahun, tetapi indeks persepsi rasuah oleh CPI Transparency International (TI), meletakkan Malaysia di tangga ke-60 pada 2011 yang mendapat peruntukan sebanyak RM203 juta berbanding RM29 juta pada 1996 di tangga ke-26.

Semuanya senario ini bermula dengan dasar pelaksanaanya.

Apa jaminannya

Ini memberi indikasi bahawa apa jua dasar dengan apa pun namanya, apa jua slogan yang indah-indah untuk apa jua tujuannya, tidak dapat menjamin tahap integriti dan akauntabiliti yang tinggi dalam aspek pengurusan dan pelaksanaannya.

Transformasi dalam agenda sahaja tidak memadai sebaliknya Malaysia memerlukan reformasi sistem.

Dan kelmarin, PM Najib mengumumkan langkah untuk memperkasa ekonomi Bumiputera dalam bentuk dana dan latihan yang akan disalur dan digerakkan menerusi pelbagai agensi seperti TEKUN, IKBN, JPA, MARA, UiTM, Yayasan Wakaf Malaysia dan banyak lagi, yang menelan belanja ratusan juta ringgit.

Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera ini dilaksanakan dalam suasana budaya rasuah, sikap cuai dan kronisme yang masih berleluasa. Khususnya bagi mereka yang berkepentingan.

Ingin kita tegaskan lagi, apa pun dasar dan matlamatnya, rakyat tidak menolaknya secara membuta tuli.

Persoalannya mudah, apakah ada jaminan daripada PM bahawa semua dana yang akan disalurkan ini akan selamat sampai ke kelompok sasaran tanpa berulangnya lagi hal ketirisan dan rasuah? Dan, adakah jaminan bahawa mereka yang disasarkan untuk mendapat latihan tambahan itu benar-benar daripada golongan yang memerlukan?

Jika melihat daripada reputasi kerajaan BN selama ini, pastinya kita merasa bimbang dan ragu. Lihat saja institusi seperti UiTM, dahulunya ditubuhkan fokus untuk membantu Bumiputera luar bandar yang miskin, tetapi kini, praktiknya seakan telah berubah.

Maka, jalan paling berkesan untuk ‘memperkasa’ ekonomi Bumiputera ialah dengan ‘memperkasa’ aspek ketelusan (transparency), undang-undang dan integriti demi memastikan budaya rasuah dan ketirisan dapat diperangi habis-habisan.

Masalah ketirisan dan rasuah bukan sekadar mengurus persepsi dengan slogan atau kata-kata indah tetapi ia perlu dilaksana dan dikuatkuasakan dengan segera. Tidak sukar, hanya memerlukan keberanian dan kesungguhan.

“Apa guna pasang pelita, Jika tidak dengan sumbunya

Apa guna bermain kata, Kalau tidak dengan sungguhnya”

Mahdzir Ibrahim adalah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat, Pemuda Sosialis DAP, juga seorang peminat seni dan kebudayaan.