Berita

13 ‘Orang Kena Zalim’ bebas tunggu rayuan

TAIPING, 19 SEPTEMBER: Sekumpulan 13 individu pro demokrasi yang dihukum penjara minggu lalu, hari ini dibebaskan untuk menangguhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Taiping sementara menanti rayuan.

13 individu terbabit yang kini popular dengan gelaran ‘OKZ’ (Orang Kena Zalim) minggu lalu dihukum penjara dua tahun serta denda RM5,000 seorang setelah disabitkan bersalah kerana mengingkari arahan bersurai oleh pihak polis dalam aksi melawan rampasan kuasa di Perak empat tahun lalu.

Ketika membuat keputusan itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Nasfy Yasin turut menyebut bahawa ‘kebebasan 13 orang ini tidak boleh dirampas’ serta membenarkan mereka membayar denda yang dikenakan Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar minggu lalu dalam masa enam bulan.

Mereka yang dihukum Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Norsalha Hamzah yang enggan memberikan penangguhan adalah Bad Latif Mansor, 47; Suhana Abdullah, 49; Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 38; Mohd Faiz Mohd Arshad, 26; Zulhaizam Zulkifli, 29; Isha Riduan Ishak, 59; Adi Hilmee Mohd Nasir, 44; Yusoff Jaafar, 48; Idris Mohd Thaib, 48; Mohamad Nazeer Hameed, 48; Khairul Azmi Hassan Basri, 48; Mohd Hasri Ismail, 48 dan Mohamed Ismail SM Abdul Kadir, 47.

Dalam penghujahan, peguam semua tertuduh, Hanipa Maidin berkata, “Hanya hukuman mandatori saja yang Mahkamah letakkan hukuman dua tahun. Ini hanya kesalahan mengikut Seksyen 145 dan mereka yang terbabit tidak pernah melakukan kesalahan. Maka adakah wajar Mahkamah mengenakan hukuman penjara dua tahun.”

Steven Sim 1Beliau juga merujuk kesalahan rogol kanak-kanak bawah umur yang dibenarkan mahkamah untuk diikat jamin.

“Mengapa pula mereka ini tidak boleh ditangguhkan hukuman,” ujar Hanipa.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang turut hadir di mahkamah bagi menunjukkan sokongan dan solidariti terlebih dahulu berkongsi di laman sosial Facebooknya suasana di dalam mahkamah dengan kapsyen berbunyi “Tiada hijab antara doa orang yang tertindas dengan Tuhan”.

Diminta mengulas, Steven melahirkan rasa sayu melihat kepada semangat 13 individu terbabit.

“Walaupun kita menyambut baik keputusan hakim, tapi perbicaraan ini sepatutnya tidak perlu.

“Rakyat yang mempertahankan kebebasan dan kebenaran terpaksa berdiri dalam kandang tertuduh, sebaliknya yang merampas kuasa, yang rasuah, masih bebas,” ujarnya. – Roketkini.com