KUALA LUMPUR, 23 SEPTEMBER: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang diperintah Barisan Nasional (BN) patut mencontohi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang memberi peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang untuk projek pembangunan kecil.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dalam kenyataan bersamanya berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang sudah mengumumkan bahawa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk pembangkang akan diberi peruntukan untuk projek pembangunan kecil.
Menurut mereka, 10 ADUN pembangkang daripada UMNO juga akan diberi peruntukan sebanyak RM40,000 bagi tujuan berkenaan mulai 2014.
“Tindakan itu jelas merupakan satu langkah besar ke hadapan untuk mewujudkan sebuah demokrasi yang matang di negara ini. Ia sekaligus membuktikan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak bermain politik, sebaliknya serius dalam usaha perdamaian nasional yang tidak pernah diamalkan kerajaan Persekutuan.
“Usaha itu patut dicontohi setiap kerajaan negeri di Malaysia, terutama sekali kerajaan Persekutuan.
“Pada tahun ini, sejumlah RM185.5 juta diperuntukkan kepada semua 222 kawasan parlimen. Jumlah itu bersamaan dengan kira-kira RM835,000 setiap kawasan. Malangnya, Ahli Parlimen pembangkang langsung tidak diberi kuasa untuk mengurus atau meluluskan sebarang projek menggunakan peruntukan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mereka berkata, jelas, tindakan itu merupakan diskriminasi terhadap Ahli Parlimen pembangkang dan pencabulan terhadap prinsip demokrasi serta ia juga boleh dilihat sebagai menghina rakyat di kawasan pembangkang.
Justeru itu, Steven Sim dan Zairil menggesa kerajaan Persekutuan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengikut jejak langkah kerajaan negeri Pulau Pinang dan memberi peruntukan tahunan kepada Ahli Parlimen pembangkang agar kami dapat melaksanakan kewajiban sebagai wakil rakyat yang dipilih rakyat secara sah.
“Kami juga berharap Perdana Menteri akan mengambil peluang ini untuk bertindak secara berhemah dan membelakangkan kepentingan politik sempit demi mencapai kematangan proses demokrasi di negara ini,” katanya.- Roketkini.com