Berita

Bajet Alternatif 2014 PR untuk rakyat nilai siapa lebih layak urus ekonomi negara.

KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER: Pakatan Rakyat (PR) akan membentangkan Bajet Alternatif 2014 sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan bajet kerajaan pada 25 Oktober ini.

Pada sidang media bersama Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen PAS Kuala Krai, Dr Hatta Ramli berkata, Bajet Alternatif itu adalah tawaran PR untuk menjana ekonomi negara dengan cara sebetulnya agar dapat mengelak pembaziran.

Bajet Alternatif PR itu akan memberi tumpuan kepada tanggungjawab fiskal melalui langkah seperti pembaharuan kepada belanjawan dan mengetatkan perolehan kerajaan serta peraturan perbelanjaan dalam usaha untuk mengurangkan pembaziran, ketirisan dan kos yang berlebihan.

Bajet itu dijangka mengandungi ‘dasar berdaya pembaharuan’ untuk meluaskan sumber hasil kerajaan ditambah dengan pemantauan rapi perbelanjaan.

“Kami mahu tawarkan analisis dan idea Bajet PR supaya Najib boleh ambil kira, ia juga adalah untuk seluruh rakyat dan pasaran termasuk pakar ekonomi untuk menghakimi siapa sebenarnya lebih layak menguruskan ekonomi negara.

“Merujuk kepada Belanjawan Tambahan yang dibentangkan semalam iaitu RM14 bilion. Kita amat bimbang kerana ini adalah tahun ke-16 kerajaan membentangkan bajet defisit.

“Najib walaupun dilihat berusaha untuk kurangkan defisit kepada 4 peratus tapi nampaknya tidak berjaya, sebagai contoh, tahun lepas 4.9 peratus, tahun ini kita jangkakan akan naik selepas pembentangan sehingga 5.5 peratus,” kata Steven Sim, di Lobi Parlimen, hari ini.

Awal bulan ini, kerajaan mengurangkan subsidi petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter dalam usaha mengurangkan subsidi bahan api kira-kira RM3.3 bilion setahun.

Firma penarafan antarabangsa, Fitch Ratings juga mengurangkan unjuran hutang negara daripada stabil kepada negatif Julai lalu.

“Hutang negara ketika ini juga kian bertambah, lebih daripada 53 peratus, paling tinggi dalam sejarah. Kita menjangkakan pada akhir 2013, akan mencecah siling hutang, siling itu hak hutang yang ditentukan sendiri kerajaan iaitu hutang negara tidak boleh lebih daripada 55 peratus tapi nampaknya dengan ‘trend’ kerajaan sekarang, kita akan melepasi siling hutang.

“Fitch Ratings telah menurunkan ‘outlook’ negara daripada stabil ke negatif, semua ini akan memberi kesan, bukan saja kepada keyakinan pelabur asing tetapi rakyat sebab ekonomi yang lemah akan menyebabkan pelbagai masalah.

“Jadi sebab itu kita nak tawarkan cara bagaimana PR mengendalikan ekonomi berbanding kerajaan. Namun, kita terbuka jika Najib nak mengambil dan meniru idea ini,” sindir Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan.

Nurul Izzah pula menimbulkan kebimbangannya mengenai perbelanjaan semasa kerajaan yang akan membawa hutang negara kepada lebih daripada 55 peratus, di atas siling hutang.

“Hutang negara menyaksikan peningkatan sejak Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009 iaitu 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ia adalah masa bagi kerajaan untuk membentangkan bajet jujur ​​dan berani serta tidak lagi menyembunyikan di bawah amalan ekonomi yang tidak tepat sehingga bajet tambahan diperlukan setiap tahun.

“Jika tidak ada sebarang perubahan dilakukan kepada perbelanjaan dan KDNK, defisit akan meningkat kepada 5.5 peratus, ianya amat membimbangkan,” ujarnya.

“Jika terdapat sebarang perubahan kepada ramalan perbelanjaan dan KDNK, defisit akan meningkat kepada 5.5 peratus.

Perbelanjaan bajet kerajaan semakin meningkat pada tahun kebelakangan ini, daripada RM206.2 bilion pada 2010 kepada RM212 bilion dan RM252.4 bilion pada 2011 dan 2012.-Roketkini.com