Rencana

Dari meja Setiausaha Agung…

Saya sebenarnya hendak mengutuskan surat ini lebih awal, untuk menyeru semua cawangan dan perwakilan jawatankuasa pusat supaya menghadiri Kongres Khas Kebangsaan bagi melaksanakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 29 September 2013 di One World Hotel di Bandar Utama, Selangor; demi memastikan kesinambungan parti kita ini. Yakinlah bahawa ROS belum berputus asa dalam menggugat kewujudan DAP.

Namun disebabkan pergerakan jentera ROS yang dikawal UMNO, kami mahu untuk sentiasa mutakhir dengan siri taktik kotor yang digunakan terhadap DAP. Jangan kita sangsi bahawa taktik kotor untuk mensabotaj pemilihan semula parti serta merendah-rendahkan kredibiliti parti dan integriti pemimpin parti adalah satu tindakan balas dendam di atas kejayaan DAP dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Untuk rekod, biar saya ulang cerita apa yang telah terjadi. Kepimpinan DAP telah bertanggungjawab penuh untuk membetulkan kesilapan yang dibuat sewaktu pengumuman oleh bekas Pegawai Pemilihan Sdr Pooi Weng Keong berkenaan keputusan ahli CEC yang dilantik sewaktu Kongres Kebangsaan yang lalu di Pulau Pinang pada 15-16 Disember 2012. Kesilapan tersebut tidak didedahkan oleh orang luar tetapi ditemui secara dalaman, dan kepimpinan DAP telah berlaku jujur mengakui kesilapan itu serta membetulkannya. Keputusan yang tela dibetulkan telah disahkan oleh sebuah firma perakaunan antarabangsa.

Pihak ROS cuba mengeksploitasi kejujuran pimpinan DAP dengan menggunakannya sebagai alasan untuk tidak mengiktiraf CEC yang telah dilantik sehari sebelum hari penamaan calon PRU ke 13 pada 20 April 2013. Memandangkan tindakan tersebut akan menghalang Setiausaha Agung DAP daripada memberi kebenaran para calon untuk menggunakan simbol parti, DAP mengumumkan bahawa ia akan menggunakan simbol PAS sebagai ganti. Setelah menerima tamparan hebat daripada umum kerana menggunakan taktik kotor demikian, ROS mengalah dan menyatakan bahawa DAP masih boleh menggunakan simbol parti.

Selepas kejayaan bersejarah kita dalam pilihanraya umum, UMNO menggunakan ROS untuk cuba berlaku khianat kepada DAP dengan mengarahkan pemilihan semula. Pada awalnya pimpinan parti memutuskan untuk melawan ROS di mahkamah apabila ia enggan memberi sebab mahupun berjumpa dengan pimpinan kita yang mahukan penjelasan tentang sebab-sebab perlunya diadakan pemilihan semula.

Meski pun yakin menang di mahkamah, Pengerusi Kebangsaan Sdr Karpal Singh mendapat khabar bahawa ROS akan menggunakan cabaran ke mahkamah terhadap arahan tidak sah ROS sebagai alasan untuk membatalkan pendaftaran DAP. Walaupun Sdr Karpal yakin boleh menang di mahkamah, perlawanan tersebut bukanlah sangat tentang soal undang-undang tetapi lebih kepada politik.

Kepimpinan DAP membuat keputusan bahawa meski pun kita menang di mahkamah, parti tidak boleh berkeadaan seperti digantung tak bertali dan mungkin dibatalkan pendaftarannya dalam jangka masa sekurang-kurangnya setahun sementara kes tersebut diselesaikan oleh pihak mahkamah. Kewujudan DAP tidak boleh diperjudikan. Pemimpin boleh kehilangan kebebasan dan dipenjara tetapi DAP tidak boleh dibatalkan pendaftarannya.

Atas sebab itu dengan rasa berat hati keputusan dibuat untuk mengadakan pemilihan semula, walaupun kepimpinan parti tidak melakukan kesalahan. Calon-calon yang sama dan senarai perwakilan yang sama digunakan tahun lalu adalah senarai akhir yang layak. Kesemua ahli CEC yang lama dan baru telah mengambil pendirian secara bersama berkaitan krisis yang sedang mengancam survival parti dan sebulat suara bersetuju untuk mengadakan pemilihan semula berdasarkan senarai calon dan perwakilan yang sama.

Ahli Parlimen Serdang Sdr Dr Ong Kian Ming telah dilantik sebagai Pegawai Pemilihan dan sebuah firma perakaunan antarabangsa, PKF International akan memantau proses pemilihan bermula dari proses memaklumkan tentang Kongres Khas Kebangsaan sehinggalah pengiraan undi bagi memastikan tidak ada sebarang kesilapan.

Perlembagaan Parti memberi kuasa untuk mengadakan pemilihan dalam Kongres Khas Kebangsaan. Mereka yang terlibat menggesa DAP untuk patuh kepada keputusan ROS supaya mengadakan pemilihan semula kini terlibat pula dalam usaha menghalang dan mengkhianati pemilihan semula tersebut. Mereka telah mencabar pelaksanaan pemilihan semula dengan memohon perintah injunksi dari mahkamah yang akan didengar pada 25 September 2013.

Seandainya para pengkhianat (saboteur) ini berjaya, Kongres Khas Kebangsaan akan ditunda. Sebaliknya Kongres Khas Kebangsaan akan diadakan pada 29 September 2013. Kalau pun para pengkhianat ini gagal, mereka tidak akan berputus asa. Atas sebab ini, mesti ada kehadiran yang baik oleh para perwakilan parti untuk menolak dan menentang usaha jahat untuk menghancurkan DAP, yang gagal dilakukan BN dan UMNO dalam pilihanraya umum.

DAP adalah satu-satunya parti yang menepati kata-kata, melaksanakan apa yang disebut dan bertindak atas prinsip dan polisi. Jelas sekali bahawa kita mampu mentadbir dengan lebih baik berbanding BN.

DAP mewakili harapan rakyat Malaysia dan masa depan anak-anak muda. Marilah kita berlaku adil terhadap harapan mereka untuk masa depan yang lebih cerah dengan memastikan survival DAP demi merealisasikan impian Malaysia untuk peluang saksama bagi semua orang untuk hidup makmur dalam keamanan serta berjaya dengan hasil usaha gigih.

Kita jumpa di One World Hotel, Bandar Utama, Selangor pada 29 Semptember 2013!

 

LIM GUAN ENG

23 September 2013