Berita

Kerajaan disaran pinda undang-undang perkahwinan kanak-kanak bawah umur

KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER: DAP menyarankan kerajaan agar meminda undang-undang sivil dan syariah bagi melarang perkahwinan membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching berkata, tindakan perlu segera dilaksanakan kerana pengantin kanak-kanak ini cenderung untuk tidak melengkapkan pendidikan mereka dan lebih terdedah kepada pelbagai risiko.

Beliau berkata demikian merujuk kepada tragedi menimpa seorang gadis Yaman berusia 8 tahun baru-baru ini yang meninggal dunia akibat kecederaan dalaman yang dialami pada malam pertama perkahwinan.

Menurutnya, selepas tragedi itu, dilaporkan Menteri Hak Asasi Manusia Yaman, Huriya Mashoor kini berikrar mengharamkan perkahwinan kanak-kanak dan akan menekankan di Parlimen bagi memastikan umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

TNC1“Sudah tiba masanya, Malaysia mengambil langkah meminda undang-undang sivil dan syariah melarang perkahwinan kanak-kanak sebelum terlambat supaya tragedi yang berlaku di Yaman tidak berlaku di sini.

“Bukan sahaja kerana kanak-kanak perempuan antara 10 dan 14 tahun adalah lima kali lebih banyak berbanding wanita berusia 20 hingga 24 tahun meninggal ketika mengandung dan melahirkan anak, tetapi juga akibat pengantin kanak-kanak ini cenderung untuk tidak melengkapkan pembelajaran mereka malah terdedah kepada penderaan fizikal, seksual dan mental.

“Undang-undang usia itu juga mestilah sama antara Muslim dan bukan Muslim terutama apabila tidak ada bukti saintifik untuk membuktikan bagaimana agama boleh memberi kesan pada kematangan mental dan fizikal seseorang,” katanya dalam kenyataan.

Mengikut undang-undang negara, umur perkahwinan bukan Islam adalah 18 tahun, namun perkahwinan dibenarkan untuk mereka yang berumur antara 16 dan 18 tahun dengan kebenaran bertulis daripada ketua menteri.

Bagi orang Islam, umur perkahwinan untuk lelaki adalah 18 dan perempuan, 16 tahun, tetapi melalui kebenaran Mahkamah Syariah, umat Islam boleh berkahwin bila-bila masa tanpa had umur.

Pada masa sama, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha DAP Kebangsaan turut merujuk kes yang berlaku Mei lalu, apabila seorang lelaki dari Sabah, Riduan Masmud, berusia 40 tahun mengahwini mangsa rogol berumur 12 tahun sebagai isteri keduanya.

Katanya, perkahwinan lelaki dari Sabah itu hanya sebahagian kecil daripada bilangan data yang diperoleh. Mengikut Banci Penduduk dan Perumahan 2000, terdapat sejumlah 6,800 kanak-kanak perempuan bawah 15 tahun telah berkahwin dengan masyarakat Melayu mencatat kadar tertinggi seramai 2,450 diikuti Bumiputera lain sebanyak 1,550, Cina 1,600, India 600 dan lain-lain 600.

“Data juga menunjukkan bahawa 235 kanak-kanak berumur antara 10 dan 14 sudah menjadi balu dan 77 bercerai atau terpisah selama-lamanya.

“Sebaliknya, statistik Jabatan Agama Islam negeri turut menunjukkan peningkatan sebanyak 35 peratus dalam permohonan perkahwinan yang membabitkan individu bawah umur antara 2008 dan 2010 di Kedah.

“Jabatan itu menerima 75 permohonan perkahwinan daripada individu bawah umur pada 2008, 2009 (99) dan 2010 (101). Daripada jumlah itu, 90 peratus membabitkan gadis bawah 16 tahun,” ujarnya. -Roketkini.com