Berita

Buang bayi sama seperti membunuh – Sivakumar

KUALA LUMPUR, 25 SEPTEMBER: DAP menggesa pihak berkuasa memandang serius kes pembuangan bayi yang berada pada tahap kritikal dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar berkata, kes itu perlu diklasifikasikan sebagai satu jenayah serius kerana hukuman semasa bagi pembuangan bayi terlalu ringan untuk dijadikan penghalang agar ia tidak terus berleluasa.

“Undang-undang perlu dikaji semula dan juga perlu satu mekanisme untuk mengesan serta mencari sesiapa saja yang terbabit dalam pembuangan bayi, kita tidak boleh membiarkannya begitu saja.

V Sivakumar 1“Kes ini harus dilihat sebagai jenayah serius kerana ia membabitkan pembunuhan. Tidak ada perbezaan dalam membunuh samada orang dewasa atau bayi baru lahir,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Sivakumar di Parlimen, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan terdapat sebanyak 417 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh negara antara 2009 dan Ogos lalu berdasarkan rekod polis.

Bilangan tertinggi kes yang dilaporkan adalah 98 pada 2011 atau secara purata sebanyak 8.2 bayi baru lahir dibuang setiap bulan.

Bagi 2013, sehingga kini terdapat 60 kes dilaporkan pada Ogos atau purata sebanyak 7.5 pembuangan bayi.

“Kementerian hanya melihat kes yang dilaporkan saja. Saya percaya terdapat banyak lagi kes tidak dilaporkan untuk mengelak daripada angka statistik menjadi lebih tinggi,” tegasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan turut mengecam tindakan pihak berkuasa yang tidak mengambil sebarang pendekatan berkesan untuk menangani isu ini sejak beberapa tahun lalu.

“Terdapat banyak program yang dijalankan untuk mendekati orang ramai tetapi usaha itu tidak mendatangkan sebarang hasil positif jika dilihat daripada angka pembuangan bayi dalam negara.

“Saya telah meminta Dewan Rakyat agar mengkaji semula Seksyen 315, 316, 317 dan 318 Kanun Keseksaan kerana ia berkait kes pembuangan bayi.

“Saya ingin tegaskan, perbuatan atau kelakuan membuang bayi oleh sesiapa saja adalah satu kegiatan jenayah yang sama seperti membunuh kerana ia membabitkan nyawa,” ujarnya. -Roketkini.com.