Berita

DAP pertikai pembaziran RM20 juta dana awam untuk PPPM 2013-2025

KUALA LUMPUR, 25 SEPTEMBER: DAP mempertikai tindakan kerajaan memberi RM20 juta dana awam kepada firma pakar runding pengurusan, Mckinsey and Co untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dalam kenyataan bersama mereka semalam menegaskan wang itu sepatutnya digunakan untuk kegiatan pembelajaran atau menambahbaik dan menyediakan fasiliti tambahan kepada sekolah.

Menurut mereka, penggunaan dana awam itu jelas satu pembaziran apabila Kementerian Pendidikan dan jabatan kerajaan lain mempunyai ramai kakitangan berkemahiran lebih baik dalam penyediaan PPPM.

Dalam jawapan bertulis pertanyaan pada persidang Parlimen, Kementerian Pendidikan menyatakan sejumlah RM20.57 juta dibayar kepada perunding melalui dua peringkat. RM4.7 juta pada fasa pertama dan RM15.86 juta fasa kedua.

“McKinsey hanya firma pakar runding dalam pengurusan am dan sebenarnya bukan pakar dalam bidang pendidikan. Ada kemungkinan bahawa satu atau dua rakan kongsi utama McKinsey dulu terbabit dalam perundingan untuk projek pendidikan tetapi pengalaman mereka tentu jauh ketinggalan berbanding panel pakar yang menyertai pasukan petugas projek serta panel penilai bebas.

“Malah, dokumen muktamad yang dikeluarkan juga kurang menonjolkan tahap kepakaran luar biasa firma itu jika pemilihannya dibuat berdasarkan pengetahuan mereka terhadap sistem pendidikan di negara lain.

“Perbandingan antara sistem pendidikan di Malaysia dan negara luar dalam dokumen PPPM sebenarnya boleh dibuat oleh seorang pelajar Malaysia yang cerdik dan sedang menyelidik isu penarafan pendidikan tahap antarabangsa untuk projek tahun akhirnya,” kenyataan itu dipetik.

Mereka menambah, dokumen PPPM sendiri menyenaraikan 20 individu berkaliber menganggotai Pasukan Petugas Projek dan Pejabat Pengurusan Projek (PMO) termasuk Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD)  Dr Faridah Abu Hassan dan Pengarah NKRA Pendidikan, Tengku Azian Tengku Shahriman.

“Jadi mengapa PMO tidak memilih untuk menggunakan kepakaran dan tenaga kerja dalam Kementerian dan PEMANDU untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025? Apa sebab Kementerian memilih membazirkan RM20 juta demi mengupah pakar perunding yang mahal?

“Duit itu sebenarnya boleh digunakan untuk membina empat sekolah baru dengan kos RM5 juta untuk setiap satu atau membina makmal sains baru,” kata mereka.

Tambahan pula, menurut mereka, peranan McKinsey tidak didokumenkan langsung dalam PPPM 2013-2025.

Sehubungan itu, mereka turut mendesak Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan sebab utama kerajaan sanggup mengunakan wang pembayar cukai sebanyak RM20 juta hanya untuk mengupah McKinsey and Co.

“Kami menggesa Muhyiddin menjelaskan mengapa RM20 juta itu dibelanjakan demi mengupah McKinsey dan apakah beliau merancang untuk terus menggunakan perkhidmatan firma itu dalam melaksanakan PPPM Malaysia.

“Ini bercanggah dengan satu daripada 11 ‘anjakan’ PPPM  iaitu untuk ‘meningkatkan ketulusan akauntabiliti awam’ dan ia juga tidak menyakinkan kami bahawa Kementerian akan menerbitkan laporan tahunan yang telus atau akauntabel dalam menjejak kemaraan PPPM 2013-2025 seperti dijanjikan,” tegasnya.-Roketkini.com