Berita

SKMM jangan pilih bulu, digesa siasat juga blog pro-UMNO

1002623_655000331177758_971637466_nKUALA LUMPUR, 25 SEPT: Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim menggesa supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia agar tidak pilih bulu berhubung dakwaan fitnah berbahaya melalui satu artikel yang disiarkan secara meluas melalui blog-blog pro Barisan Nasional.

Kata Teresa dalam satu kenyataan media hari ini, artikel yang bertajuk “Cina Pun Mahu Duit Zakat –Teresa Kok” itu merupakan satu fitnah berbahaya dan mampu mengancam kestabilan perpaduan masyarakat negara ini.

“Apa yang mengejutkan, menteri kata kes ini adalah kes serangan peribadi yang hanya libatkan dua pihak. Beliau juga kata bahawa kes sebegini lebih menjurus kepada tindakan sivil dimana yang difitnah perlu tampil membuat tuntutan terhadap pelaku tersebut.

“Padahal fitnah jahat ini sangat jelas dibuat untuk menimbulkan kebencian agama dan kaum apalagi menjelang hari raya puasa. Bagaimana mungkin Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh katakan ia satu serangan peribadi?” soal Teresa.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana aduan terhadap blogger Alvivi dan Vivien dalam isu “Bah Kut Teh” diambil tindakan segera berbanding isu fitnah terhadap dirinya.

“Mengapa SKMM pilih bulu untuk ambil tindakan?” soalnya.

Dalam artikel fitnah itu, Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dituduh kononnya mengeluarkan kenyataan bahawa wang zakat yang dikutip di Selangor perlu juga diagihkan kepada orang Cina yang mana mereka juga membayar cukai.

Artikel itu juga menuduh Teresa telah menggesa jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memberikan wang zakat itu untuk membantu kaum Cina di Selangor.

Rentetan dari fitnah yang telah tersebar luas itu, satu laporan polis telah pun dibuat pada 7 Ogos 2013 yang lalu manakala pada 12 Ogos pula, satu aduan rasmi mengenai fitnah ini telah pun dibuat kepada SKMM.

“Pada 14 Ogos, saya mendapat maklum balas SKMM yang menyatakan bahawa mereka akan menyemak semua kandungan yang telah dilaporkan di dalam laman web dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Tetapi keputusan SKMM yang berkata ianya ‘isu peribadi’ amat mengecewakan,” katanya lagi. – Roketkini.com