Berita

DAP gesa ambil 6 langkah efektif banteras rasuah

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: DAP mahu kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menipu rakyat dengan sekadar beretorik konon mahu melawan rasuah habis-habisan sebaliknya membuktikannya dengan menukar dasar-dasar kerajaan supaya lebih efektif.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, perjuangan membanteras rasuah hanya sia-sia jika sekadar melantik seseorang tanpa sebarang reformasi sistemik dalam pentadbiran kerajaan.

“Menukar individu tanpa melakukan perubahan polisi yang dapat melawan rasuah secara efektif hanyalah seperti ‘mengisi wain lama ke dalam botol baru’,” kata beliau dalam satu kenyataan memberi respon kepada kenyataan Perdana Menteri Najib Razak di San Francisco semalam.

lge-ppJusteru beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan menyeru Perdana Menteri, Najib Razak mengguna pakai enam langkah integriti bagi membanteras rasuah dan mewujudkan pentadbiran yang bersih seperti berikut:

1. Menginstitusikan pengisytiharan harta secara umum bagi Perdana Menteri, Menteri kabinet, Ketua Menteri/Menteri Besar dan Ahli EXCO dengan disahkan oleh firma perakaunan antarabangsa.
2. Melaksanakan tender terbuka.
3. Menghalang ahli keluarga pemimpin kerajaan daripada terlibat dalam kontrak kerajaan.
4. Melindungi pemberi maklumat yang asli.
5. Pecat pemimpin yang mempunyai gaya hidup mewah.
6. Telus tentang derma-derma politik.

Beliau berkata, kegagalan untuk melaksanakan enam langkah integriti ini hanya akan menimbulkan tanda tanya terhadap komitmen dan keikhlasan Najib membanteras rasuah.

“Menurut Barometer Rasuah Global TI-M pada Mac 2013, 31 peratus responden yang berpendapat bahawa kerajaan Malaysia membasmi rasuah secara efektif telah menurun dari bilangan 49 peratus padatahun 2011.

“Malah, lebih teruk lagi, Malaysia disebut sebagai negara paling korup di dunia untuk urusan bisnes menurut Bribe Payers Survey TI bagi tahun 2012,” jelas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Dakwaan malaysia sebagai negara yang mempunyai bacaan rasuah tertinggi terbukti apabila negara telah dianggarkan kerugian sebanyak RM27 bilion setiap tahun sehingga RM1 trilion seperti yang dianggarkan oleh Global Financial Integrity Report yang berpengkalan di Washington, sepanjang 10 tahun lalu dalam bentuk aliran dana haram.

Terkini, Government Defence Anti-Corruption Index yang dibuat TI pula telah meletakkan Malaysia dalam kategori amat berisiko tinggi terjebak dengan rasuah perolehan dan operasi pertahanan, sebaris dengan Zimbabwe.

Dalam masa yang sama, Guan Eng turut mempersoal tindakan Najib yang bercakap untuk menaikkan taraf Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjadi sebuah badan yang bebas.

“Tidak ada tindakan pun setakat ini diambil terhadap kekayaan melampau Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta kematian mendian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini ketika dalam tahanan SPRM.

Tambah beliau lagi, SPRM malah boleh enggan bertindak terhadap politik wang yang dikesan dalam pemilihan UMNO kerana SPRM menganggap rasuah sedemikian sebagai hal dalaman parti dan biro disiplin UMNO lah yang harus bertindak, bukannya SPRM.

“Tidak hairanlah kenapa ahli perniagaan berpendapat bahawa Malaysia adalah juara dunia dalam rasuah perniagaan,” katanya.

“Amalan rasuah sudah sangat sebati dengan budaya politik BN sehingga disebut, ‘kalau rasuah tidak dibanters, Malaysia akan mati, tetapi kalau rasuah dibanters, BN akan mati’,” katanya. – Roketkini.com