Berita

DAP maafkan Utusan Malaysia, nasihat amalkan etika kewartawanan yang baik

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: DAP hari ini menerima permohonan maaf Utusan Malaysia atas ‘kesilapan’ laporan akhbar itu pada 7 September lalu di mukasurat 13 bertajuk “Cuba sembunyi kebiadaban DAP”.

Dalam sidang media di Lobi Parlimen, Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh berkata walaupun pihak parti menerima permohonan maaf itu, ia bukan bermaksud Utusan Malaysia boleh mengulangi kesalahan yang serupa berulang kali.

“Kita terima permohonan maaf ini tetapi mereka perlulah jujur dan bertanggungjawab terhadap laporan yang dibuat dengan mengamalkan etika jurnalisme yang sebenar,” ujar Karpal.

Menurutnya, fitnah yang dibuat Utusan itu tidak boleh diterima sama sekali memandangkan Utusan Malaysia merupakan salah satu akhbar utama arus perdana dalam negara ini.

“Utusan harus rasa malu kepada diri mereka sendiri dan saya sangat berharap laporan-laporan Utusan akan bertambah baik,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, sebagai akhbar harian utama, Utusan Malaysia sepatutnya lebih peka terhadap apa yang dimahukan oleh rakyat Malaysia.

“Ia bukan bermaksud Utusan perlu bias kepada DAP ataupun oposisi, cukuplah kalau mereka lapor perkara yang benar.

“Kita juga turut rasa hairan, bagaimana akhbar ini juga boleh mengambil laporan-laporan dari blog-blog pro UMNO-BN yang belum tentu kesahihannya,” katanya yang juga Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur.

Utusan Malaysia terbitan 7 September itu telah melaporkan satu berita fitnah yang memetik kenyataan Ahli Parlimen BN Datuk Puad Zarkashi.

Dalam laporan itu, Puad mendakwa keengganan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membenarkan tayangan filem Tanda Putera di negeri itu adalah demi melindungi bapanya dari diketahui umum kencing di tiang bendera rumah Menteri Besar Selangor Datuk harun Idris ketika berlakunya tragedy 13 Mei 1969.

Bagaimana pun, fakta itu hanya fitnah semata-mata kerana Lim Kit Siang ketika itu tidak berada di Kuala Lumpur. – Roketkini.com