Berita

DAP mohon ahli bertenang, terima sahaja keputusan mahkamah esok

KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER: DAP hari ini menyatakan akan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok samada mereka boleh atau tidak mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), Ahad ini melalui Kongres Khas seperti yang diarahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menyeru semua ahli parti agar bertenang dan menerima apa sahaja keputusan mahkamah tinggi.

ipohlimguanengccm7DAP akan mematuhi segala keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok, seandainya mahkamah membenarkan perintah injunksi, maka Kongres Khas untuk mengadakan pemilihan semula tidak dapat diteruskan pada hari Ahad.

“Ahli-ahli CEC akan turut bersama esok supaya keputusan pantas boleh dibuat sejurus selepas mahkamah memberikan penghakiman,” katanya dalam kenyataan.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan turut terkejut dengan tindakan Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman yang terus mendesak dengan mendakwa DAP tidak mematuhi arahan bagi mengadakan Kongres Kebangsaan.

“Kami terkejut dengan kenyataan Datuk Abdul Rahman yang hanya berkomunikasi melalui media massa tanpa menulis sebarang surat rasmi. Beliau juga berkelakuan secara tidak profesional dan tidak bertanggungjawab apabila enggan memberikan sebab bertulis kepada keputusannya supaya diadakan pemilihan semula, DAP sendiri tidak tahu apa sebenarnya kesilapan yang telah dilakukan parti.

“Beliau sepatutnya membaca Perlembagaan Parti DAP dengan cermat dan menyedari bahawa terdapat klausa khusus yang membenarkan pemilihan parti untuk melantik Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dalam Kongres Khas dan bukan sahaja melalui Kongres Kebangsaan.

“Dalam Kongres Khas, notis tujuh hari kepada perwakilan adalah mencukupi, manakala notis minima 10 minggu diperlukan bagi Kongres Kebangsaan. DAP telah memberikan notis tiga minggu, lebih daripada satu minggu yang dikehendaki bagi Kongres Khas,” ujarnya.

Guan Eng menegaskan, tindakan tidak bertanggungjawab ROS menafikan kewujudan klausa khusus untuk mengadakan pemilihan CEC melalui Kongres Khas jelas bertujuan membantu UMNO.

“Jelas sekali dengan menafikan klausa khusus untuk mengadakan pemilihan CEC merupakan pembohongan dan penipuan bagi membantu UMNO memangsakan DAP kerana kejayaan bersejarah kami dalam Pilihan Raya Umum lalu.

“Bagaimana mungkin ROS boleh bercakap tentang bertindak adil terhadap semua ahli parti apabila mereka sendiri tidak menghormati Perlembagaan Parti DAP yang disahkan sendiri oleh pihak ROS?,” soalnya.