Berita

DAP ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Azizan

KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menyampaikan salam takziah kepada keluarga mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin melahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan atau lebih dikenali sebagai Ustaz Azizan yang dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 11.10 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Allahyarham Tan Sri merupakan Menteri Besar Kedah ke 10 yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau. Beliau menjadi Menteri Besar selepas PAS dan PKR membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam Pilihan Raya Umum pada 2008.

LGE-IMG_8211 (1)“Mengenali Allahyarham Tan Sri, beliau merupakan seorang pemimpin yang berkaliber dan disegani ramai. Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham,” ujarnya.

DAP Kedah juga turut menyampaikan salam takziah kepada keluarga arwah Ustaz Azizan.

Pengerusi Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari berkata, pemergian Ustaz Azizan tentunya cukup dirasai kerana beliau bukan sahaja tokoh politik yang dihormati, malah juga seorang pemimpin agama serta bekas ahli akademik yang cukup disegani.

“Sesungguhnya negeri Kedah telah kehilangan seorang pemimpin dengan keperibadian unggul dalam pelbagai bidang seperti siasah, akademik dan agama yang amat sukar dicari ganti. Demikianlah janji Tuhan, tiada sesiapa dapat menundanya mahupun mempercepatkannya barang sesaat juga.

“DAP Kedah ingin menyatakan rasa berbesar hati kerana dapat berkhidmat bersama Allahyarham Ustaz Azizan yang senantiasa tegas dalam komitmennya untuk memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan negeri Kedah.

“Meskipun kepimpinan Allahyarham di Kedah hanya sepenggal, namun dalam tempoh itu Allahyarham telah menunjukkan tauladan pentadbiran yang telus dan amanah. Semoga usaha, jasa, pengorbanan dan kerja keras Allahyarham dirahmati Allah,” katanya yang juga Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera. -Roketkini.com