Berita

Generasi baru DAP gesa aktivis parti henti jaja politik perkauman

KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER: Generasi Baru DAP mengecam keras tindakan menjaja sentimen perkauman menjelang pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang jelas bertentangan dengan aspirasi parti dan menggesa ia dihentikan serta merta.

Menurut mereka, aktivis parti yang ingin dihargai parti haruslah berusaha keras mengukuhkan agenda parti agar dapat membina Malaysia yang lebih sejahtera untuk semua tanpa mengira warna kulit, keturunan dan darjat.

“Kami menggesa supaya para aktivis parti berhenti menjaja sentimen perkauman yang akhirnya akan menjadi fitnah kepada parti dan membantut usaha bersama ke arah sebuah negara yang lebih baik tanpa batas-batas perkauman.

“Kami sangat kecewa apabila aspirasi parti ke arah politik baru ini tidak dapat dihadam pihak-pihak tertentu yang sehingga ke hari ini menjaja keturunan kaumnya sebagai suatu modal politik demi mendaki tangga kedudukan politik. Kesilapan-kesilapan politik dangkal ini boleh dielakkan.

“Tindakan pihak-pihak seperti saudara Zulkifli Mohd Noor menjaja isu perkauman di tengah-tengah ribut kencang pemilihan amat memalukan dan harus dihentikan serta merta. Ini memberi bayangan bahawa masih terdapat segelintir pihak dalam kalangan aktivis parti yang gagal memahami aspirasi parti DAP,” kenyataan itu dipetik.

Kenyataan ini dibuat sebagai respons kepada kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd. Noor minggu lalu yang menyifatkan kepimpinan parti itu hanya melihat penyertaan orang Melayu di dalam parti berkenaan sebagai ‘ahli 50 sen’ dan tidak mendatangkan kepentingan kepada parti.

“Agak mengecewakan apabila pihak yang sudah begitu lama terlibat dan menyumbang begitu banyak masa dan tenaga demi perjuangan parti akhirnya kalah dengan ego masing-masing demi merebut pengaruh dan kuasa politik.

“Hujah kononnya DAP tidak meletakkan nilai tinggi kepada kaum tertentu bukan sahaja dangkal, malah berniat jahat kerana tindakan sedemikian menggagalkan agenda parti ke arah sebuah negara yang menyediakan peluang saksama kepada semua pihak.

“DAP sedang berusaha keras untuk melahirkan imej parti yang lebih segar dengan membawa pendekatan politik baru dengan gaya berbeza untuk memperkukuh aspirasi politik dasar dan bukannya politik perkauman. Jika DAP juga menggunakan sentimen perkauman, apa yang membezakan ahli politik DAP dengan UMNO-Barisan Nasional?,” soalnya.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAPSY Kebangsaan, Mahdzir Ibrahim; Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Jalan Brunei Pudu, Hafiz Zainuddin; Ketua Pemuda DAPSY Bukit Bendera, Mohd Hariszuan; Setiausaha Politik Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Dyana Sofya; Bendahari DAP Cawangan Bangkok Lane, Rozaimin Elias; Timbalan Pengerusi Pro-Tem Cawangan Bandar Utama, Edry Faizal Eddy Yusof dan Ahli DAP Bukit Bendera, Nur Fitriah Abdul Halim.

Turut sama menandatangani kenyataan ialah Setiausaha Organisasi DAPSY Selangor, Mohamad Samat; Penolong Setiausaha DAPSY Selangor, Mohammad Firdaus Babh; Ahli DAP Cawangan Bukit Bintang Baru, Wira Andika A Halim dan Ahli DAP Cawangan Bangkok Lane, Izmil Amri Ismail. -Roketkini.com