Berita

Pemilihan semula CEC ikut perlembagaan parti, mahkamah tidak berhak halang

KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan akan membuat keputusan Jumaat ini ke atas permohonan membatalkan injunksi yang difailkan terhadap Kongres Khas pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rosnaini Saub berkata demikian selepas mendengar hujah peguam yang mewakili kedua-dua pihak.

Menurut peguam yang mewakili DAP, Karpal Singh, mahkamah tidak boleh menghalang parti itu daripada mengadakan pemilihan semula kerana Akta Pertubuhan 1966 melarang campur tangan mahkamah dalam pertikaian melibatkan parti politik.

Karpal yang juga Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor menegaskan, keputusan untuk mengadakan pemilihan semula itu juga atas arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa merit dalam kes ini. Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 jelas menyatakan bahawa keputusan parti politik atau mana-mana adalah muktamad dan konklusif.

“Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding di mana-mana alasan mengenai kesahihan keputusan terbabit,” katanya ketika menyampaikan hujah di depan Hakim Mahkamah Tinggi.

DAP akan mengadakan pemilihan semula CEC Ahad ini selepas mendapat pelbagai desakan dari ROS.

Namun, pemilihan semula itu cuba dihalang bekas Naib Pengerusi DAP Ladang Paroi, David Dass yang telah dipecat Julai lalu apabila beliau memfailkan injunksi dengan mendakwa kononnya pemilihan tidak mengikut perlembagaan parti.

David Dass turut menyatakan pemilihan perlu dilakukan melalui Kongres Kebangsaan dan bukannya Kongres Khas.

Peguam mewakili David Dass, K Harikrishnan berhujah bahawa DAP perlu memberi notis 10 minggu untuk mengadakan pemilihan semula CEC dan notis Kongres Khas bertarikh 4 September adalah batal dan tidak sah.

Menjawap tuduhan Harikrishnan itu, Ketua Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo menyatakan notis 10 minggu tidak terpakai dalam pemilihan semula.

“Notis mengcukupi sudah dihantar pada 9 September dan parti akan mengadakan pemilihan CEC minggu ini.

“Arahan untuk menjalankan pemilihan semula telah dibuat oleh ROS tetapi samada pemilihan itu dibuat melalui Kongres Khas atau Kongres Kebangsaan adalah budi bicara parti.

“Dalam perlembagaan parti seperti terkandung dalam Jadual Pertama: Peraturan-Peraturan Tetap Konres/Persidangan di bawah Perkara Pengundian 46 dengan jelas menyebut soal ini dan Kongres Khas boleh digunakan untuk memilih CEC baru,” tegasnya. -Roketkini.com