Rencana

Cabai Burung – Tolak kelompok bebal dalam parti, bersiap hadapi sebarang kemungkinan

cabai-burungA1“Besar periuk, banyaklah keraknya.” Itu realiti hidup yang terpaksa dihadap DAP lebih-lebih pula semakin kukuh dalam politik arus perdana tanah air. Apa tidaknya, DAP sudah diterima pelbagai lapisan masyarakat, termasuklah orang Melayu yang dahulunya melihat DAP seperti melihat puaka lapar darah.

Betul kata sesetengah orang, kalau nak senang kenalah menipu. Malangnya, DAP ini bukanlah parti pembohong sehingga terpaksa menelan pahit akibat sikap jujur pimpinan parti.

29 September, empat hari lagi merupakan tarikh pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di One World Hotel. Keputusan ini dibuat demi menyelamatkan parti dari risiko dibatalkan pendaftaran. Kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, “krisis yang sedang berlaku ini mengancam survival parti…”

Kalau UMNO pernah diharamkan, ia memang wajar atas sebab krisis dalaman parti itu. Tetapi kalaulah hal yang sama berlaku ke atas DAP, ia tidak lain akibat dari sifat dengki dan niat jahat pihak lawan yang nampaknya begitu takut kepada DAP. Lebih-lebih lagi setelah berjaya meraih undi popular 51 peratus.

Orang bebal tau cakap saja….

Selain dipermainkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan pelbagai kerenah birokrasi, DAP terus mendapat kritikan melampau dan liputan negatif media tradisional seperti Utusan Malaysia kawalan UMNO-Barisan Nasional.

Bukan itu sahaja, DAP juga diganggu kelompok ‘bebalist’ dalam parti yang menangguk di air keruh. Kalau iya pun ada masalah, duduklah berbincang. Kalau tak mahu berbincang, janganlah membuat kacau. Jika percaya kepada perjuangan parti, mengapa perlu membuat heboh di media lawan. Tunjukkanlah komitmen tinggi dan usaha ke arah memantapkan parti. Cakap kosong saja tak guna.

Semalam, DAP terpaksa berhadapan dengan satu lagi dilema apabila permohonan injunksi bekas ahli parti untuk menghalang pemilihan semula CEC diperdengar di mahkamah.

Keputusannya hanya akan diketahui hari Jumaat ini, hanya dua hari sebelum tarikh pemilihan semula itu.

Apa akan berlaku jika mahkamah memenangkan tuntutan injunksi itu? Bukankah DAP terpaksa berhadap satu lagi masalah yang pasti hanya akan memburukkan keadaan.

Ahli dan pimpinan kena sepakat

Apa pun yang berlaku ke atas DAP kelak, seluruh ahli dan pimpinan di semua peringkat haruslah teguh dengan pegangan terhadap perjuangan parti ke arah Malaysia untuk rakyat Malaysia.

Justeru, marilah kita merenung kembali apa yang dikatakan saudara Setiausaha Agung bahawa “DAP adalah satu-satunya parti yang menepati kata-kata, melaksanakan apa yang disebut dan bertindak atas prinsip dan dasar. Jelas sekali bahawa kita mampu mentadbir dengan lebih baik berbanding BN.”

“DAP mewakili harapan rakyat Malaysia dan masa depan anak-anak muda. Marilah kita berlaku adil terhadap harapan mereka untuk masa depan yang lebih cerah dengan memastikan survival DAP demi merealisasikan impian Malaysia untuk peluang saksama bagi semua orang untuk hidup makmur dalam keamanan serta berjaya dengan hasil usaha gigih.”

Kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku kepada parti pada hari Jumaat ini. Apa pun, sebagai seorang pejuang, kita percaya bahawa kebenaran akan terus bersama mereka yang jujur dan ikhlas. – Roketkini.com