Berita

Upah syarikat asing RM20 juta, kerajaan UMNO-BN tidak yakin dengan pakar sendiri

KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER: DAP hari ini sekali lagi mempertikaikan keperluan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayar RM20 juta kepada syarikat perunding McKinsey & Co untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dalam kenyataan bersama berkata, keperluan Kementerian Pendidikan mengambil pandangan, pendapat dan analisa khususnya daripada pakar pendidikan tidak dapat dinafikan, tetapi syarikat yang dilantik tidak mempunyai kepakaran dalam bidang terbabit padahal kerajaan memiliki ramai tenaga tempatan mahir.

Menurut mereka, sebagai contoh laporan akhir PPPM sendiri telah menyenaraikan sumbangan daripada pakar-pakar tempatan, termasuk kajian enam buah universiti awam tempatan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Penguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT).

ong kian ming“Kementerian Pendidikan telah memperolehi khidmat nasihat antarabangsa daripada pakar-pakar seperti UNESCO yang telah menyediakan laporan terperinci mengenai pembangunan kurikulum, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan, pendidikan guru, latihan dan pendidikan teknik dan vokasional; serta peperiksaan dan pentaksiran murid.

“Bank Dunia (World Bank) juga sudah menjalankan kajian menyeluruh ke atas perbelanjaan awam (Public Expenditure Review) termasuk sektor pendidikan pada 2011. Pada masa yang sama, Panel Dialog Nasional Pendidikan Malaysia di bawah pimpinan Tan Sri Datuk Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin turut menyediakan laporan hasil daripada rundingan awam di 14 negeri.

“Jadi, apakah Menteri tidak mempunyai keyakinan dengan pakar-pakar dan pegawai-pegawai sendiri untuk menjalankan tugas mereka?”

Kata mereka, selain nama diatas, kerajaan juga memiliki PEMANDU yang menjalankan kerja pelaksanaan Makmal Pendidikan dengan sokongan pasukan NKRA Pendidikan dan diketuai oleh pakar-pakar tempatan daripada Kementerian Pendidikan termasuk Institut Aminuddin Baki.

Di samping itu, Panel Penilai Bebas Malaysia telah ditubuhkan di bawah pimpinan Prof Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak. Panel Penilai Bebas Antarabangsa pula mempunyai keanggotaan pakar-pakar seperti Dr Andreas Schleicher (Ketua, Analisis dan Indikator, OECD), Dr Byong-Man Ahn (Mantan Menteri Pendidikan Korea Selatan), Profesor Michael Fullan (Penasihat Khas kepada Premier dan Menteri Pendidikan Ontaria, Kanada) dan Profesor Sing Kong Lee (Pengarah, Institut Pendidikan Kebangsaan, Singapura).

Zairil 2Sebelum ini DAP telah mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan menggunakan dana awam sebanyak RM20 juta untuk mengupah McKinsey & Co, namun Muhyiddin mendakwa pembayaran kepada syarikat firma itu berpatutan kerana kerajaan sememangnya memerlukan khidmat pakar.

Menyelar kenyataan Muhyiddin, DAP menegaskan sumbangan McKinsey dalam bidang pendidikan adalah tidak jelas kerana tidak disenaraikan langsung dalam laporan PPPM.

“Kami ingin bertanya mengapa perlunya Kementerian melantik perunding McKinsey dengan jumlah RM20 juta? Adakah ini ‘berpatutan’?

“Sedang kepakaran McKinsey seperti yang didakwa Muhyiddin tidak jelas dan jika syarikat itu tidak menyumbang dari segi input, adakah peranan mereka hanya sekadar menulis laporan sahaja?

“Khidmat McKinsey adalah tidak perlu, bukan sahaja dari segi input malah dari segi penyediaan laporan kerana kerajaan mempunyai pelbagai jabatan dan agensi yang pakar seperti pasukan NKRA dan NKEA Pendidikan (PEMANDU), Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan atau EPRD (Education Planning and Research Division) serta Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) yang ditubuhkan pada bulan April 2012,” tegas mereka. -Roketkini.com