Berita

Mahkamah berpihak DAP, permohonan injunksi ditolak

KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi membuat keputusan menolak pemfailan injunksi bagi menghalang DAP mengadakan pemilihan semula dalam Kongres Khas Kebangsaan yang dijadual berlangsung Ahad ini.

Hakim Dato Rosnaini Saub memutuskan untuk menolak permohonan injunksi yang difailkan oleh bekas timbalan pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass terhadap parti DAP yang bertindak mencabar keputusan parti mengadakan pemilihan semula melalui sebuah Kongres Khas.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh dalam penghujahan pada hari Rabu lalu menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan isu parti politik sebagaimana yang termaktub di dalam Akta Pertubuhan 1966.

CEC mahkamah 2Bercakap dalam sidang media sejurus keputusan diberikan, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berharap supaya semua pihak menghormati keputusan mahkamah.

“Setiausaha Agung (Lim Guan Eng) telah menyatakan dengan jelas bahawa kita akan mematuhi apa sahaja keputusan mahkamah. Siapa yang tidak puas hati dengan keputusan ini boleh terus mencari jalan lain.

“Buat masa ini Kongres Khas pada hari 29 haribulan akan berjalan seperti yang dijadualkan, dan pemilihan semula akan dijalankan seperti yang diarahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) ,” ujarnya yang kelihatan sangat gembira.

Kongres Khas pada hari Ahad 29 September adalah bertujuan melakukan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang tidak diiktiraf pihak ROS atas sebab-sebab yang masih belum diberikan. – Roketkini.com