Berita

Pengarah ROS digesa letak jawatan

KUALA LUMPUR, 27 SEP – Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan, Datuk Abdul Rahman Othman digesa meletakkan jawatan disebabkan sikap tidak profesional dan kejahilannya menangani isu pemilihan semula DAP.

Demikian saranan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejurus selepas hakim Dato Rosnaini Saub membuat keputusan menolak permohonan injunksi David Dass bagi menghalang pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam Kongres Khas Ahad ini.

Sambil meluahkan rasa lega dengan keputusan mahkamah yang menurutnya menegakkan undang-undang seperti yang tertera dalam Akta Pertubuhan, Guan Eng

“Memang parti DAP berhak memanggil satu Kongres Khas Kebangsaan untuk menjalankan pemilihan semula parti. Ini telah disahkan,” katanya.

“Saya amat kesal dengan kenyataan Pendaftar Pertubuhan yang telah membuat kenyataan di surat khabar bahawa kita tidak berhak untuk mengadakan kongres khas,

“Amat nyata bahawa Pendaftar Pertubuhan tidak faham langsung undang-undang. Atas kejahilan beliau, beliau menunjukkan bahawa beliau tidak layak menjadi Pendaftar Pertubuhan kerana tak faham undang-undang,” ujarnya lagi.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menempelak Pendaftar Pertubuhan yang dilihatnya cuba melaksanakan agenda politik Barisan Nasional bagi membalas dendam kepada DAP.

“Saya ingin minta, lebih baik beliau letak jawatan. Itu sahaja,” kata beliau, disambut tepukan gemuruh pemimpin dan penyokong DAP yang turut hadir ke mahkamah bagi menyatakan sokongan. – Roketkini.com